KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur membongkar satu sindiket pengedaran dadah yang menggunakan minuman berperisa menyerupai air biasa sebagai medium edaran dalam tiga serbuan di sekitar ibu negara, Rabu lalu.
Serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur itu turut menahan seorang lelaki serta merampas pelbagai jenis dadah dan aset sitaan dianggarkan bernilai RM978,857.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hasil risikan dengan kerjasama maklumat orang awam, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun pada pukul 12.55 tengah hari, Rabu lalu.
Katanya, pemeriksaan lanjut dijalankan ke atas dua buah kenderaan serta dua premis kediaman, melibatkan sebuah rumah teres dan sebuah kondominium yang digunakan sebagai lokasi memproses dan menyimpan dadah.
“Pelbagai jenis dadan dan peralatan ditemukan antaranya cecair MDMA seberat 867,252 gram bernilai RM701,850; serbuk MDMA seberat 5,480.50 gram bernilai RM37,800; 190 kartrij vape mengandungi cecair ketamin berjumlah 380 mililiter bernilai RM57,000 serta 306 batang rokok kanabis seberat 304.97 gram bernilai RM30,600.
“Turut dirampas ialah peket plastik lutsinar berisi dadah jenis ketamin seberat 21 gram bernilai RM4,200; dadah jenis ecstasy seberat 5.28 gram bernilai RM500 serta pil Erimin 5 seberat 21.08 gram bernilai RM400 dan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM832,350.
“Kita turut menyita harta dianggarkan bernilai RM146,507 melibatkan kereta jenis Mercedes-Benz, Honda City Hatchback, rantai berwarna kekuningan, dua utas jam tangan serta wang tunai Ringgit Malaysia dan mata wang asing,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Fadil berkata, modus operandi suspek menggunakan kaedah bergerak dengan membawa pelbagai jenis dadah menggunakan kenderaan selain menjadikan rumah sebagai lokasi simpanan dan pemprosesan
Beliau berkata, dadah ini dijual kepada orang awam tanpa sasaran khusus seperti kelab malam.
“Bahan terlarang itu turut diproses dan dibungkus dalam bentuk minuman berperisa yang kelihatan seperti air biasa di pasaran untuk menyukarkan pengesanan secara fizikal selain menunjukkan perubahan bentuk dan pendekatan pengedaran dadah yang kini lebih inovatif berbanding kaedah konvensional.
“Bahan ini dicampur ke dalam air botol berperisa pelbagai jenis seperti anggur, teh hijau dan teh herba Cina, menyebabkan ia kelihatan seolah-olah minuman sebenar,” katanya.
Jelasnya, harga jualan bergantung kepada kandungan dan kualiti dengan boleh mencecah ratusan ringgit, selain satu unit rampasan berupaya membekalkan dadah kepada ribuan individu.
“Siasatan mendapati masih terdapat individu lain yang dipercayai terlibat dan kini sedang diburu.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah dan dia tidak mempunyai rekod jenayah atau dadah.
“Suspek direman selama tujuh hari bermula 8 hingga 14 Januari ini bagi membantu siasatan. Tempoh reman bagi satu kes akan tamat dalam tempoh dua hari, manakala satu lagi reman akan tamat pada 15 haribulan (Januari) ini,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah serta akan terus mempergiat usaha memerangi jenayah itu dan menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222,” tegasnya.- UTUSAN










