SHAH ALAM: Dua sindiket pengedaran dadah melibatkan syabu dan bunga ganja seberat 221.4 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM14.6 juta tumpas menerusi empat siri serbuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, awal bulan ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, serbuan dijalankan pada 3 hingga 5 Mac lalu di sekitar Gombak, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kota Warisan dan Sentul itu turut membongkar kegiatan pengedaran bunga ganja bagi pasaran luar negara serta syabu bagi pasaran tempatan.
Menurut beliau, operasi dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dan KLIA.
Katanya, hasil operasi tersebut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan serta lima warga asing termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan.
“Siasatan mendapati sindiket antarabangsa ini memfokuskan kepada pengedaran bunga ganja yang diperoleh dari negara jiran sebelum dihantar ke luar negara menggunakan keldai dadah warga asing,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Jelas Shazeli, kes pertama membabitkan penahanan tiga lelaki dan seorang wanita warga asing dengan rampasan dadah disyaki bunga ganja seberat 116.3 kg bernilai kira-kira RM9.35 juta.
Penahanan tersebut bermula apabila seorang lelaki warga asing ditahan di KLIA pada 3 Mac lalu yang disyaki bertindak sebagai keldai dadah bersama sebuah bagasi berisi 49 bungkusan plastik mengandungi dedaun kering dipercayai bunga ganja seberat 27.2 kg yang dipercayai hendak dibawa ke luar negara.
“Keesokan harinya, seorang lagi lelaki warga asing yang dipercayai antara dalang utama sindiket ditahan di sebuah rumah di Kota Warisan, Sepang.
“Turut dirampas sebuah bagasi mengandungi 25 bungkusan plastik berisi bunga ganja seberat 14.3 kg,” katanya. – UTUSAN










