Baju tidur Anis Soffiya pengubat rindu adik istimewa

Baju tidur Anis Soffiya pengubat rindu adik istimewa

CHE Nor Aida Suhana Mat bersama Arissa Imani Othman menunjukkan baju tidur Allahyarham Anis Soffiya Md. Zaidi di Kampung Rahmat, Setiu, Terengganu. UTUSAN / WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Kehilangan Anis Soffiya Md. Zaidi akibat kemalangan maut di Ki­lometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli-Gerik, Perak, Jun tahun lalu, bukan hanya memberi kesan kepada ibunya malah menjejaskan adik istimewanya, Arissa Imani othman.

Ibu penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu, Che Nor Aida Suhana Mat, 47, berkata, adik bongsu Allahyarham berusia tujuh tahun itu adalah seorang kanak-kanak kurang upaya kategori sindrom down yang sangat rapat dengan Anis Soffiya.

Katanya, Aniss Soffiya atau panggilan manjanya Angah seorang yang sangat prihatin dan menyayangi adik-adiknya meskipun daripada bapa yang berbeza.

“Setiap kali teringat Angah, Arissa Imani menyebut namanya walaupun dia mempunyai masalah pertuturan. Apabila sesuatu yang mengingatkan dirinya terhadap kakak keduanya itu, Arissa Imani menunjukkan ke arah barang-barang atau menyebut nama Angah.

“Baru-baru ini, saya mengemas barangan milik arwah dan ketika hendak membuang sehelai pakaian tidur, tiba-tiba Arissa mengambilnya dan menyebut ‘Angah’ sambil menunjukkannya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Rahmat, dekat Chalok di sini.

Che Nor Aida Suhana berkata, dia membatalkan hasrat untuk membuang pakaian tersebut dan menyimpannya sebagai kenangan.

Menurutnya, apa yang lebih memilukan hatinya apabila Arissa Imani kadangkala mengambil surah yasin dan datang menghampirinya serta meminta dibacakan surah itu untuk Allahyarham.

Sementara itu, katanya, menjadi rutin mereka sekeluarga menziarahi pusara Anis Soffiya yang merupakan anak kedua dari lima beradik itu ketika kelapangan.

“Jika dulu kubur adalah tempat menakutkan tetapi kini bagi saya lokasi tersebut menjadi ingatan dan rindu untuk sentiasa berziarah di sana.

” Selain itu, apabila rindu Angah, saya suka melihat status WhatsApp rakan-rakan arwah yang mana saya berasakan sekiranya Allahyarham masih ada, mungkin melalui aktiviti sama di kolej,” katanya.

Bercerita tentang Allahyarham, ibunya berkata, walaupun Anis Soffiya seorang atlit olahraga dan ragbi namun keperibadiannya mengutamakan ibadah serta al-Quran turut menjadi sebutan ramai.

Katanya setiap kali kedatangan Ramadan, Anis Soffiya tidak pernah ketinggalan khatam 30 juzuk Al-Quran dan itu dilakukannya sejak kecil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×