KOTA BHARU: Hartal Doktor Kontrak menuntut kerajaan menubuhkan suruhanjaya bebas bagi menjalankan siasatan terperinci susulan seorang doktor pelatih wanita yang ditemukan mati di bilik asramanya di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai, dekat sini, Khamis lalu.
Jurucakap Hartal Doktor Kontrak berkata, pelbagai kemungkinan boleh menjadi punca kejadian dan semua faktor perlu diteliti secara holistik sebelum kesimpulan dibuat.
Katanya, kejadian tersebut memberi kesan mendalam kepada komuniti petugas kesihatan di negara ini yang saban hari berdepan cabaran serta tekanan.
“Pihak kami sangat berdukacita dengan insiden ini dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga serta rakan-rakan mangsa.
“Semoga mereka diberikan kekuatan menghadapi saat sukar ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Jurucakap itu berkata, isu buli atau tekanan kerja mungkin antara faktor yang sering dibangkitkan dalam kalangan petugas kesihatan.
Katanya, bagaimanapun masih terlalu awal untuk mengaitkannya secara langsung dengan insiden tersebut sebelum siasatan lengkap dijalankan.
“Cabaran dan tekanan yang dihadapi petugas kesihatan ketika ini sangat membimbangkan.
“Jika tidak ditangani segera, tidak mustahil lebih banyak insiden tidak diingini boleh berlaku pada masa hadapan,” katanya.
Terdahulu, satu jawatankuasa dilapor akan ditubuhkan bagi menyiasat dan meneliti kes seorang doktor pelatih wanita ditemukan mati di asrama HSIP.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Mohd. Azman Yacob berkata, ia menjurus kepada punca sebenar kejadian termasuk dari aspek tekanan tempat kerja dan faktor lain yang menyumbang kepada perkara tersebut.
Sebelum itu, seorang doktor pelatih wanita berusia 29 tahun ditemukan mati di bilik asramanya di HSIP.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 9.55 pagi selepas pihak hospital membuat laporan berhubung penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik berkenaan.- UTUSAN











