Tak ada sebab untuk saya tinggalkan Pas - Annuar Musa - Utusan Malaysia

Tak ada sebab untuk saya tinggalkan Pas – Annuar Musa

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rumah Bangsa yang digagaskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai hanyalah jenama baharu dengan isi dan tuannya adalah sama.

Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau sudah pun berada dalam ‘Rumah Agama’, ‘Rumah Bangsa’ dan ‘Rumah Negara’ atau apa saja nama diberikan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pada masa ini tiada sebab baginya untuk meninggalkan perjuangan Pas selepas dibuang oleh UMNO tanpa sebarang tunjuk sebab, notis atau pelung mengetahui kesalahannya bahkan tidak diberikan proses membela diri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apa pun saya hargai ajakan terbuka kepada mangsa pemecatan dan penggantungan kononnya untuk memperkasa parti. Ternyata belum cukup perkasa rupanya. InsyaAllah, kita masing-masing punya landasan dalam berjuang. Buatlah pilihan.

“Bagi saya yang penting adalah keredhaan Allah dan jalan yang betul,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.

Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh berkata, beliau tidak pernah meninggalkan UMNO bahkan tetap istiqamah ingin melihat parti itu memimpin penyatuan orang Melayu dan Islam.

“Malangnya, UMNO memilih PH (Pakatan Harapan) dan DAP. Saya dibuang tanpa tunjuk sebab, tanpa notis, tanpa peluang mengetahui apa salah saya, tanpa proses membela diri.

“Itu balasan pimpinan UMNO terhadap perjuangan saya 45 tahun dalam UMNO dan sebagai pangasas penaja menghidupkan UMNO selepas diharamkan dengan nombor ahli 0000000124,” katanya.

Berkongsikan pengalamannya dibuang daripada UMNO, Annuar berkata, beliau meneruskan perjuangannya tanpa parti selama berbulan-bulan namun pada masa sama menilai masa depan orang Melayu dan Islam serta parti-parti sedia ada untuk menjadi pilihan atau kekal tidak berparti.

Katanya, beliau menilai secara jujur hala tuju UMNO dan cuba meramal masa depan perjuangan orang Melayu dan Islam di Malaysia.

“Sewaktu berada di Mekah, saya menemui jawapan. Satu-satunya parti yang memperjuangkan siasah dakwah dan tarbiyah serta kukuh dasarnya pada Islam adalah Pas.

“Lalu menerusi satu panggilan telefon kepada Setiausaha Agung Pas, saya memaklumkan saya redha untuk berjuang bersamanya. Saya tidak memilih duduk tanpa parti. Saya memilih untuk terus berjuang.

“Setahun kemudian ternyata ramalan saya tepat. Rakyat mengangkat Pas menjadi parti terbesar di Parlimen. Hampir 200 pemimpin Pas bergelar wakil rakyat dan menguasai negeri, Alhamdulillah,” katanya.

Annuar berkata, sejak ‘menyarung jersi hijau’, beliau diberi ruang untuk menyumbang sekadar mampu dan amat bersyukur walaupun peranannya kecil.

“Hari ini setelah lebih 40 tahun dalam UMNO dan lebih tiga tahun bersama Pas, dapatlah saya tegaskan tidak ada satu sebab pun untuk saya meninggalkan jemaah ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini