PETALING JAYA: Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa supaya bertindak dengan penuh tekad menghentikan segera konflik Asia Barat sebelum ia merebak dan meragut lebih banyak nyawa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan kesediaan Malaysia untuk menyokong sebarang usaha yang berwibawa ke arah mencapai menghentikan keganasan melalui rundingan.
“Saya menyeru masyarakat antarabangsa supaya bertindak dengan segera dan penuh tekad sebelum konflik ini meragut lebih banyak nyawa dan menarik lebih banyak negara ke dalam kancahnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Anwar berkata, keadaan terkini di Asia Barat kekal membimbangkan kerana Bahrain, Kuwait, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu telah berdepan dengan serangan berulang.
Katanya, keganasan itu juga telah merebak ke Azerbaijan, Jordan dan Turki.
“Kemudahan tenaga, pemasangan bekalan air serta infrastruktur lain yang menjadi ketergantungan jutaan manusia untuk kehidupan harian turut menjadi sasaran serangan.
“Laluan utama minyak dan perkapalan dunia melalui perairan ini. Sebarang gangguan di sini membawa kesan yang jauh melangkaui rantau tersebut,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Malaysia berpendirian bahawa seruan untuk semua pihak supaya menahan diri daripada meningkatkan ketegangan konflik di Asia Barat oleh pimpinan tertinggi di Iran sebagai gesaan yang wajar diambil serius dan dihormati.
Anwar berkata, selaras dengan pendirian dwipartisan berprinsip yang diambil oleh Parlimen Malaysia, beliau mengalu-alukan seruan tersebut di tengah-tengah konflik berterusan di sekitar negara Teluk dan wilayah Asia Barat yang lebih luas.
Katanya, seruan itu wajar diambil serius dan dihormati oleh semua pihak.
“Akan sentiasa ada suara yang menggesa pendekatan lebih keras, namun sejarah jarang sekali berpihak kepada mereka yang memilih untuk meningkatkan ketegangan berbanding rundingan ketika pintu dialog masih terbuka.
“Mengekalkan ruang untuk dialog memerlukan keberanian yang sebenar,” katanya. – UTUSAN











