KJ bakal hidupkan semula sokongan generasi muda - Utusan Malaysia

KJ bakal hidupkan semula sokongan generasi muda

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Hasrat Khairy Jamaluddin kembali menyertai UMNO berpotensi menarik semula minat generasi muda termasuk pengundi kali pertama untuk mendekati parti itu.

Pemuda UMNO Pulau Pinang menyambut baik hasrat bekas Ketua Pemuda UMNO itu dan berpandangan, kepemimpinan perlu bersikap terbuka serta berjiwa besar dalam menerima semula pemimpin yang masih mempunyai komitmen memperkukuh parti.

Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Mohd. Hilmi Elias berkata, perbezaan pandangan dalam politik adalah perkara biasa, namun matlamat utama ketika ini adalah memastikan UMNO kembali kuat dengan sokongan semua pihak.

“Sejujurnya, kami menyambut baik hasrat Khairy untuk kembali semula dalam UMNO. Dalam politik ini perbezaan pandangan dan perjalanan itu perkara biasa.

“Pada masa yang sama, kita menyarankan agar semua pimpinan UMNO bersikap matang dan berjiwa besar untuk menerima pemimpin yang ma­sih mempunyai komitmen bagi menguatkan parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Khairy menerusi audio siar Keluar Sekejap baru-baru ini telah mengarahkan Setiausaha Akhbarnya, Raja Syahrir Raja Abu Bakar untuk membuat draf surat permohonan bagi menyertai semula UMNO.

Mohd. Hilmi berkata, pengalaman pentadbiran serta pe­ngaruh yang dimiliki Khairy, khususnya dalam kalangan generasi muda dilihat mampu memberi impak positif kepada UMNO, sekiranya bekas Ahli Parlimen Rembau itu kembali.

Katanya, Khairy juga mempunyai kelebihan tersendiri dalam mendekati golongan mu­da melalui pelbagai platform termasuk media sosial.

“Beliau merupakan figura yang mempunyai pengalaman pentadbiran dan juga pengaruh tersendiri dalam kalangan ge­nerasi muda. Jika UMNO benar-benar mahu kembali kuat, maka kita perlu membina satu pasukan yang kuat dan kemasukan beliau boleh membantu me­nyuntik semula semangat anak muda kepada parti,’’ katanya.

Mohd. Hilmi turut berharap beberapa tokoh muda yang sebelum ini dilihat menjauhkan diri daripada UMNO dapat mempertimbangkan untuk kembali semula.

Beliau berkata, kehadiran semula tokoh-tokoh berpengaruh seperti bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan mampu membantu menarik kembali sokongan pengundi muda termasuk pengundi baharu yang semakin meningkat setiap tahun.

“Bagi pihak Pemuda UMNO Pulau Pinang, kita sangat terbuka dan berjiwa besar untuk menerima semua pemimpin yang mahu kembali dengan niat baik demi memantapkan parti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×