Dwi Aurora di Surya PJ berkonsep ‘Banglo di Langit’

Dwi Aurora di Surya PJ berkonsep ‘Banglo di Langit’

DWI Aurora ditawarkan pada harga bermula RM487,000 seunit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ASIAN PAC Holdings Berhad memperkenalkan Dwi Aurora di Surya PJ, pembangunan kediaman bertingkat terbaharu di Petaling Jaya yang menyasarkan keluarga bandar, pembeli rumah kali pertama serta pemilik yang mahukan privasi dengan penawaran konsep ‘Banglo di Langit’ dan harga mampu milik.

Projek berstatus pegangan pajakan yang merupakan sebahagian daripada perbandaran bersepadu Surya PJ itu dibangunkan di atas tanah seluas kira-kira 28.3 hektar yang menggabungkan elemen kediaman, komersial serta ruang hijau komuniti.

Dwi Aurora merangkumi unit kediaman di Dwitara Residences yang menawarkan pilihan tiga hingga empat bilik tidur dengan keluasan antara 900 hingga 1,284 kaki persegi bagi memberikan keselesaan kepada keluarga moden.

Pada majlis pratonton eksklusif di Galeri Jualan Surya PJ baru-baru ini, pemaju memaklumkan projek ini direka khusus bagi menyeimbangkan nilai harga dengan kualiti binaan yang tinggi untuk memenuhi kehendak pasaran semasa.

Ketua Pegawai Operasi Asian Pac Holdings Berhad, Kevin Loh Kah Voon berkata, projek itu dibangunkan bagi memenuhi keperluan pembeli masa kini yang mahukan kediaman dengan susun atur praktikal, reka bentuk moden serta ketersambungan yang baik.

“Pembeli rumah masa kini mahukan ruang yang boleh memenuhi pelbagai keperluan harian dan gaya hidup mereka. Dengan Dwi Aurora, kami memberi tumpuan kepada konsep keluasan kediaman bertanah yang diadaptasi ke dalam bangunan bertingkat yang selamat.

“Digabungkan dengan kemudahan bandar yang lengkap, ia menawarkan satu tahap baharu kehidupan moden dan seimbang di Petaling Jaya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terletak kira-kira 10 minit dari Bandar Sunway, pembangunan itu menyediakan akses mudah ke pusat beli-belah utama seperti Sunway Pyramid kira-kira 4.4 kilometer (km), Paradigm Mall (9.0 km) serta ketersambungan ke hab pendidikan utama termasuk The One Academy (4.5 km), Taylor’s University (5.2 km), Sunway University (5.6 km), Monash University (6.0 km) dan Kolej SEGi Subang Jaya (6.4 km).

Bagi kemudahan kesihatan, ia berhampiran dengan Hospital Columbia Asia (4.6 km), Hospital Assunta (5.9 km), Pusat Perubatan Sunway (6.1 km), Pusat Perubatan Subang Jaya (7.0 km) serta Pusat Perubatan Universiti Malaya (7.8 km).

Selain itu, projek berkenaan turut dihubungkan dengan rangkaian lebuh raya utama seperti Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Pantai Baru (NPE) dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), selain berdekatan fasiliti sukan seperti Kelab Golf Negara Subang (7.7 km), Glenmarie Golf and Country Club (10.5 km) serta Saujana Golf and Country Club (11.4 km).

Dwi Aurora ditawarkan pada harga bermula RM487,000 seunit dengan konfigurasi ruang yang fleksibel bagi memastikan setiap unit memberikan nilai pemilikan jangka panjang kepada pembeli.

Dari segi kemudahan, pembangunan itu menyediakan sebanyak 36 fasiliti merangkumi lima zon utama termasuk Zon Sosial, Zon Kesejahteraan & Produktiviti, Zon Pengembaraan, Zon Riadah dan Zon Alam Semulajadi. 

Kemudahan premium yang disediakan termasuk ruang makan panoramik Ruang Tinjau Langit (Sky Deck), ruang kerja bersama, kemudahan kecergasan moden, bilik permainan digital serta kawasan landskap hijau yang berfungsi sebagai ruang santai.

Bagi keluarga, projek ini turut menyediakan kemudahan rekreasi seperti Tee Pee Village selain kawasan komuniti, taman mesra haiwan peliharaan, laluan basikal dan ruang komersial bersepadu.

Projek ini turut menekankan elemen kelestarian dengan penggunaan reka bentuk cekap tenaga serta integrasi landskap hijau yang luas bagi menyokong gaya hidup bandar yang lebih mampan.

Menurut Asian Pac Holdings, Dwi Aurora meneruskan kesinambungan visi syarikat dalam menyediakan kediaman bandar yang berkualiti, sejajar usaha untuk menyediakan persekitaran kehidupan yang lengkap dengan kemudahan harian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN