DUNIA sekali lagi berhadapan dengan ketegangan besar apabila konflik bersenjata meletus di Asia Barat, melibatkan Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Bagi kita di Malaysia yang jaraknya beribu batu, mungkin ada yang bertanya “Itu perang mereka, apa kaitannya dengan kita yang tengah beratur beli nasi lemak di sini?”
Hakikatnya, dunia hari ini sangat berhubung kait. Apabila ‘gendang perang’ berbunyi di sana, kesannya boleh dirasai sehingga ke stesen minyak di hujung jalan rumah. Dalam situasi ini, satu istilah menjadi perhatian ramai – Selat Hormuz.
Selat Hormuz adalah sebuah laluan laut sempit antara Teluk Parsi dan Laut Arab. Ia bukan sekadar laluan biasa tetapi merupakan nadi paling kritikal bagi perdagangan minyak dunia.
Hampir 20 peratus daripada minyak mentah yang bergerak melalui perdagangan antarabangsa melalui selat ini setiap hari.
Jika lorong ini ‘ditutup’ atau diganggu akibat peperangan menyebabkan kapal-kapal tangki besar tidak boleh keluar membawa minyak dari negara pengeluar utama seperti Arab Saudi, Kuwait dan Iraq.
Bayangkan sebuah saluran air di mana hampir satu dari lima tong minyak dunia mesti melalui situ, jika ia tersumbat, bekalan tenaga global akan menghadapi gangguan besar.
Apabila bekalan minyak dunia mula tersekat sedangkan permintaan orang ramai tetap tinggi, maka secara automatik berlakulah hukum ekonomi yang paling asas iaitu harga akan melambung tinggi.
Keadaan ini biasanya dicetuskan oleh perasaan panik dalam pasaran di mana para pelabur dunia mula berasa risau dan bimbang terhadap kekurangan stok simpanan, lalu menyebabkan harga minyak mentah dunia naik mendadak dalam masa yang sangat singkat.
Selain faktor pasaran, kos pengangkutan juga akan melonjak naik kerana kapal-kapal tangki minyak terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh dan memakan belanja yang lebih besar.
Pada masa sama, syarikat perkapalan terpaksa membayar premium insurans tinggi disebabkan risiko besar yang terpaksa dihadapi di kawasan peperangan.
Malah, ramai ahli ekonomi memberi amaran keras sekiranya gangguan di selat tersebut terus berlarutan, maka dunia mungkin akan berhadapan krisis tenaga yang serupa seperti krisis minyak pada 1970-an yang akhirnya boleh membawa kepada kemelesetan ekonomi global yang serius.

BAGAIMANA PULA DENGAN MALAYSIA?
Walaupun Malaysia merupakan sebuah negara pengeluar minyak, kita sebenarnya tidak kebal daripada kesan pergolakan global ini kerana negara masih bergantung kepada import bahan api dan tenaga tertentu dari luar negara.
Situasi ini akan memberi tekanan besar kepada subsidi kerajaan di mana perbelanjaan yang lebih tinggi terpaksa diperuntukkan untuk mengekalkan harga RON95 dan diesel supaya rakyat tidak terbeban.
Kesan rantaiannya, dana negara yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan kritikal seperti sekolah atau hospital mungkin terpaksa dialihkan bagi menampung kos minyak yang melambung tinggi, malah pada satu ketika, harga petrol dan diesel di stesen minyak mungkin terpaksa dinaikkan juga.
Selain itu, kenaikan harga barang tidak dapat dielakkan memandangkan minyak merupakan nadi logistik utama yang menggerakkan ekonomi.
Apabila kos pengangkutan meningkat, harga barangan keperluan seperti sayur dan ayam di pasar raya turut naik, sekali gus mencetuskan inflasi yang menghimpit rakyat.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Nasir juga menyatakan risiko penutupan Selat Hormuz berpotensi meningkatkan kos tenaga industri, tarif elektrik serta perbelanjaan bahan bakar isi rumah jika keadaan ini berlanjutan.
Meskipun Malaysia mempunyai kelebihan sebagai pengeksport gas asli cecair (LNG) yang boleh memberi sedikit imbangan kepada sektor eksport negara ketika harga gas dunia meningkat, namun manfaat tersebut biasanya lebih dirasai di peringkat makro ekonomi dan tidak dapat mengimbangi kenaikan kos sara hidup rakyat secara serta-merta.
Dalam masa sama, kesan konflik ini turut menjalar ke dalam bil elektrik memandangkan sebahagian besar tenaga elektrik dijana menggunakan gas asli dan bahan api fosil.
Kenaikan harga minyak dan gas dunia secara tidak langsung akan meningkatkan kos penjanaan elektrik yang perlu ditanggung oleh syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Walaupun kerajaan berusaha mengawal tarif melalui mekanisme tertentu, namun kesan jangka panjang tetap akan dirasai apabila kos operasi industri meningkat dan kilang-kilang terpaksa membayar bil elektrik yang lebih mahal.
Akhirnya, kos pengeluaran barangan akan bertambah dan beban tersebut akan dipindahkan kepada pengguna melalui harga barangan yang lebih tinggi, yang bermakna kesan peperangan ini bukan sahaja meresap kedalam tangki kenderaan tetapi juga ke dalam bil elektrik rumah.
Akhir sekali, nilai mata wang ringgit turut terkesan apabila pelabur cenderung melarikan modal mereka ke arah mata wang yang dianggap lebih selamat seperti Dollar AS.
Fenomena ini akan menyebabkan ringgit semakin melemah, sekali gus menjadikan barangan import termasuk komponen elektronik dan bekalan makanan dari luar negara menjadi jauh lebih mahal daripada biasa.
Dalam keadaan yang tidak menentu ini, ketua keluarga perlu lebih berhati-hati dalam merancang perbelanjaan, apatah lagi kita berada di bulan Ramadan dan bakal menyambut Syawal tidak lama lagi.
Musim perayaan selalunya menyaksikan perbelanjaan meningkat secara mendadak, bermula daripada juadah berbuka puasa, pembelian pakaian baharu, sehinggalah kepada persiapan pulang ke kampung.
Namun, dalam suasana ekonomi global yang rapuh ini, beberapa langkah bijak perlu diambil dengan mengutamakan keperluan berbanding kehendak serta membezakan antara perkara yang wajib dan sekadar tambahan.
Justeru, selain mengharapkan keamanan dunia kembali pulih, langkah paling realistik bagi setiap keluarga ialah memperkukuh perancangan kewangan sendiri.
Dalam dunia yang saling berkait hari ini, ketahanan sesebuah keluarga bermula dengan kebijaksanaan mengurus rezeki, tidak kira apa jua badai yang melanda di pentas antarabangsa.-UTUSAN
DR. Norhaliza Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Pagoh, Johor.
DR. Zurina Samsudin ialah Pensyarah Kanan Johor Business School, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Parit Raja, Batu Pahat, Johor.










