KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menarik balik saman pemula bagi mencabar tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang didakwa enggan mengosongkan lima kerusi Parlimen, susulan wakil rakyatnya menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penarikan balik dibuat ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Januari lalu yang menolak rayuan mereka untuk mendapatkan kebenaran bagi meneruskan tindakan sama terhadap empat kerusi Parlimen di Sabah yang dimenangi bekas ahli parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Peguam Chetan Jetwani yang mewakili Bersatu memaklumkan, ia dimaklumkan pada prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mahazan Mat Taib.
Mahkamah mengarahkan Bersatu membayar kos sebanyak RM10,000 kepada lima bekas ahli parti berkenaan. Johari yang diwakili Peguam Persekutuan, Zulkefli Sulaiman tidak memohon sebarang kos.
Ia difailkan pada 15 November 2024 oleh Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya sebagai pegawai awam parti berkenaan dan selaku plaintif.
Selain Johari, turut dinamakan sebagai defendan ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang); Zahari Kechik (Jeli); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Lima ahli Parlimen tersebut diwakili peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Michael Anthony.
Pada 9 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 2-1 menolak permohonan Bersatu untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang enggan mengisytiharkan empat kerusi Parlimen di Sabah sebagai kosong.
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan dan Datuk Collin Lawrence Sequerah. – UTUSAN










