ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan dua pegawai Imigresen kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM39,000 yang disyaki dilakukan sejak awal tahun ini.
Sumber memaklumkan, kedua-dua mereka meminta dan menerima rasuah itu sebagai balasan mendapatkan kelulusan permit kerja warga asing bagi sebuah syarikat yang beroperasi di negeri ini.
Katanya, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30 dan 50-an ditahan bersama seorang lagi suspek yang dipercayai orang tengah ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah, kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara Januari hingga Februari 2026 dengan meminta wang rasuah daripada agen syarikat tersebut melalui orang tengah.
“Kedua-duanya disyaki telah menerima wang rasuah permulaan kira-kira RM4,000 secara transaksi pindahan ke akaun bank masing-masing dan baki sebanyak RM35,000 masih dalam proses pemohon permit warga asing,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, perintah reman selama enam hari sehingga 9 Mac ini terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi tadi.
Bagaimanapun seorang lagi suspek yang turut ditahan bersama mereka telah dilepaskan dengan jaminan SPRM hari ini.
Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.
Katanya, siasatan menyeluruh akan diteruskan bagi mengenal pasti sama ada terdapat individu lain yang turut terlibat dalam kegiatan tersebut. – UTUSAN










