Sebanyak 80 hidangan istimewa bertemakan Warisan Citarasa Asli 2 Benua menanti pengunjung dalam bufet Ramadan di Dewan Menara Kumpulan Risda di sini.
Dianjurkan oleh Risda Security and Services Sdn. Bhd. (RSS) dengan kerjasama Rumah Makan Patin Pasu, bufet ini menampilkan gabungan unik masakan tradisional Melayu dan sajian Barat.
Ketua Pegawai Eksekutif RSS, Putera Sidek berkata, penganjuran bufet Ramadan itu seiring langkah baharu syarikat untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri katering dan hospitaliti.
Katanya, sebelum ini, mereka berpengalaman lebih 10 tahun dalam pengurusan acara.
“Ini merupakan kali pertama kita mengorak langkah untuk bufet Ramadan dan secara tidak langsung meningkatkan lagi cabang perniagaan.
“Kerjasama strategik bersama Rumah Makan Patin Pasu dipilih berdasarkan kepakaran mereka menyediakan masakan Melayu asli, sekali gus menjamin kualiti hidangan yang ditawarkan kepada pelanggan,” katanya baru-baru ini.
Sementara itu, pengasas bersama Rumah Makan Patin Pasu, Ridzuan Anuar berkata, sebanyak 80 jenis lauk-pauk disediakan setiap hari dan dibahagikan kepada tiga set menu secara bergilir.
Antara menu kegemaran ramai ialah seleksi salai termasuk daging, itik dan keli yang dimasak mengikut resipi tradisi.
Bagi penggemar hidangan Barat pula, menu seperti kambing bakar, stew kambing, lasagna dan pelbagai pilihan pasta dan sajian Itali turut disediakan oleh cef bertauliah.
Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan live band bagi menambah kemeriahan Ramadan.
Harga bufet bernilai RM139 bagi dewas diiikuti RM110 untuk staf dan pesara Risda, manakala RM88 bagi kanak-kanak dan warga emas.
Diskaun turut diberikan kepada tempahan berkumpulan, iaitu potongan 10 peratus bagi 30 hingga 40 orang dan 15 peratus jika melebihi 41 orang.
Dewan yang terletak di tengah ibu kota itu mampu menampung sehingga 500 tetamu pada satu-satu masa serta dilengkapi kemudahan surau dan parkir percuma.
Orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan melalui kod QR pada poster rasmi atau menghubungi talian 011-17692601, 013-2469229 atau 0193517116.











