Permohonan ke program sijil dan diploma Politeknik dan Kolej Komuniti Sesi I : 2026/2027 kini dibuka

Permohonan ke program sijil dan diploma Politeknik dan Kolej Komuniti Sesi I : 2026/2027 kini dibuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) memaklumkan bahawa permohonan kemasukan pelajar Sesi I: 2026/2027 ke program sijil dan diploma di 36 buah Politeknik dan 106 buah kolej komuniti telah dibuka.

Permohonan melalui eBorang MyPOLYCC itu dibuka bermula 27 Februari lalu hingga 27 Mac ini ( pukul 5 petang) ini secara dalam talian menerusi pautan https://ambilan.mypolycc.edu.my.

Tawaran tersebut terbuka kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024 ke bawah, lulusan Sijil Politeknik, lulusan Sijil Kolej Komuniti, lulusan Sijil Vokasional Malaysia (Kolej Vokasional), lulusan sijil Institut Kemahiran Tinggi PERDA, lulusan sijil Institut Kemahiran MARA, lulusan sijil Institut Pertanian Malaysia dan Lepasan Sijil Kemahiran Malaysia (Tahap 3).

Menurut kenyataan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Tinggi bagi kategori baharu turut diperluaskan kepada lulusan Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) dan lulusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2.

Kata kenyataan itu lagi , permohonan turut dipanjangkan kepada murid yang tamat pengajian Tingkatan Lima, sekolah pendidikan khas bagi kemasukan ke 12 program Sijil Khas Kemahiran bagi kumpulan murid Orang Kurang Upaya (OKU) yang ditawarkan di lima (5) buah politeknik dan 12 buah kolej komuniti.

“ Namun demikian, pelawaan ini terhad kepada kumpulan murid kategori masalah pendengaran dan masalah pembelajaran. Selain itu, pemilik sijil APEL turut dipelawa untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sijil dan diploma, “ katanya.

Sebanyak 33,000 tempat disediakan dalam pelbagai bidang pengajian bagi sesi I: 2026/2027 dengan tarikh pendaftaran pelajar baharu bermula 14 Jun 2026 bagi program asasi ambilan sesi I: 2026/2027, manakala 21 Jun 2026 bagi program diploma, sijil dan Sijil Khas Kemahiran.

Jabatan tersebut juga memaklumkan bahawa berkuat kuasa mulai Sesi I: 2026/2027, terdapat pindaan nama program seperti berikut:

*Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) ditukar kepada Diploma Kejuruteraan Elektronik (Telekomunikasi).

*Diploma Kejuruteraan Elektronik (Kawalan) ditukar kepada Diploma Kejuruteraan Elektronik (Kawalan Automasi).

*Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Plastik) ditukar kepada Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Plastik Perindustrian).

*Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembungkusan) ditukar kepada Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembungkusan Perindustrian).

*Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Loji) ditukar kepada Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Loji Kuasa).

*Diploma Kejuruteraan Elektronik (Optoelektronik) ditukar kepada Diploma Kejuruteraan Elektronik.

Bagi memperkasakan program pengajian, jabatan ini turut memperkenalkan Program Eksklusif NAVALTech@PSA melalui kerjasama antara Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Inisiatif di bawah nota kerjasama (MoU) yang dimeterai pada 20 Mei 2025 antara JPPKK dan TLDM ini
bertujuan membekalkan tenaga kerja teknikal yang berkemahiran serta berdisiplin tinggi.

Pihak TLDM menyasarkan pengambilan seramai 200 orang calon setahun bagi Skim Diploma Tugas Khusus (DTK) TLDM iaitu lantikan ke skim juruteknik TLDM. Program NavalTech@PSA ditawarkan melalui empat program pengajian di PSA iaitu:

* Diploma Kejuruteraan Mekanikal
* Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembungkusan Industri)
* Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi)
* Diploma Kejuruteraan Elektronik (Kawalan)-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×