JOHOR BAHRU: Seorang pengawal keselamatan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 13 pertuduhan jenayah seksual terhadap anak perempuan yang tidak sah taraf berusia tujuh tahun.
Tertuduh berusia 43 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zamir Suhaimee.
Mengikut pertuduhan, tertuduh berdepan empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya bersama kekasih berusia 46 tahun.
Tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14 (B) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut berdepan empat pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara melakukan hubungan seksual di hadapan kanak-kanak terbabit.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15C AKSTK 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan boleh juga didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut berdepan dua pertuduhan meliwat anak tidak sah taraf itu yang boleh dihukum di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dari 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu turut berdepan dua pertuduhan membuat bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dalam bentuk video ke atas mangsa mengikut Seksyen 5 AKSTK 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat tidak kurang dari enam sebatan.
Tertuduh turut didakwa merogol mangsa yang mana perhubungan itu adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengan mangsa.
Semua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah setinggan dekat Kampung Kempas Baru antara 22 Januari 2026 hingga 17 Februari 2026.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin dan S. Manushri tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan semua pertuduhan tidak boleh dijamin.
Mahkamah menetapkan lusa untuk sebutan semula bagi fakta kes serta hukuman dan tidak membenarkan ikat jamin.
Di mahkamah berasingan, kekasih kepada tertuduh sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap mangsa didakwa telah mendedahkan kanak-kanak berkenaan sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Tertuduh berusia 46 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu mengaku tidak bersalah di hadapan Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
HABIS///
KEDUA-DUA tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, Johor membabitkan pertuduhan seksual dan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap seorang kanak-kanak. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI










