PUTRAJAYA: Kira-kira 55 peratus graduan universiti tempatan enggan meneruskan kerjaya mereka dalam bidang profesional apabila memasuki alam pekerjaan disebabkan halangan antaranya gaji yang tidak setimpal dan syarat ketat untuk mendapatkan status profesional.
Statistik Jabatan Perangkaan menyebut 45.1 peratus daripada jumlah graduan atau 1.9 juta daripada data pekerja mahir memasuki bidang profesional sebagaimana direkodkan pada 2019.
Jumlah itu sekali gus menimbulkan persoalan ke mana perginya golongan berkenaan dan senario itu bukan sahaja merugikan negara dari segi keperluan tenaga mahir dan profesional dalam kalangan anak tempatan tetapi juga mendorong mereka bertukar ke bidang lain.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah pada tahun 2019 itu merekodkan 45.1 peratus iaitu menurun berbanding 2018 dengan merekodkan sebanyak 1.8 juta (45.3 peratus), 1.68 juta pada 2017 dan 1.64 juta pada 2016.
Beliau berkata, dari segi permintaan buruh, bilangan kekosongan jawatan bagi kategori mahir mula menurun pada 2017, malah pada 2018, bilangan kekosongan jatuh ketara (-9.4 peratus) kepada 47,200 kekosongan.
Bagaimanapun, kata beliau, bilangan kekosongan jawatan meningkat kembali pada 2019 kepada 48,300 kekosongan. Dalam masa sama, kadar kekosongan jawatan mula turun secara perlahan dari 2015 hingga 2018 manakala pada 2019 kadar kekosongan jawatan kekal seperti tahun sebelumnya.
“Kegagalan pasaran buruh menawarkan pekerjaan yang mencukupi terutama dalam kategori mahir menyebabkan peningkatan kadar pengangguran dalam kalangan siswazah.
“Isu ketidaksepadanan meningkatkan bilangan siswazah yang dikategorikan sebagai underemployed dan underutilised. Disebabkan Covid-19 di seluruh dunia pada tahun lalu, pasaran buruh turut terkesan.
“Secara tidak langsung, wabak ini menyebabkan peningkatan pengangguran akibat pemberhentian pekerja. Dengan risiko yang sedia ada daripada pasaran buruh yang tepu, siswazah mungkin berhadapan dengan keadaan yang sukar,” katanya.
Mengulas isu berkenaan, bekas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, lalun sukar yang perlu ditempuh sebelum diiktiraf sebagai profesional dilihat antara faktor utama lebih 50 peratus graduan bidang itu tidak lagi berminat meneruskan atau memasuki sektor tersebut selepas tamat pengajian.
Katanya, jika kerajaan serius mahu ‘menjaga’ jumlah profesional ini dan memastikan mereka masuk dalam bidang itu, cadangan pemberian insentif tertentu kepada graduan berkenaan supaya mereka tidak terhenti pada peringkat pengajian sahaja,” katanya di sini baru-baru ini.
Situasi sedemikian tentunya memberikan kerugian kepada negara untuk melahirkan lebih ramai profesional dan pekerja mahir dalam bidang itu apabila mereka memilih sektor pekerjaan berbeza berbanding apa yang dipelajari di universiti.
Dalam negara menuju pendapatan tinggi dan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), keperluan tenaga kerja profesional dan mahir amat diperlukan supaya Malaysia mampu bersaing di peringkat global.
Namun, isu kekurangan tenaga profesional di negara ini perlu diambil perhatian serius terutama menangani soal kadar upah bidang itu.
Sebagai contoh, kadar gaji jurutera tempatan tidak berubah sejak 20 tahun lalu dan graduan baharu kejuruteraan hanya menerima bayaran kurang RM2,500 sebulan, sedangkan universiti tempatan menghasilkan kira-kira 10,000 graduan kejuruteraan setiap tahun dan bilangannya meningkat saban tahun, mengikut laporan media tempatan.
Turut menjadi kebimbangan, kira-kira 80 peratus pekerjaan dalam bidang perakaunan dilihat tidak lagi relevan pada masa depan menjelang IR 4.0. Banyak bidang pekerjaan akan diambil alih teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menyaksikan dunia semakin berubah ke arah lebih moden.
Begitu juga dalam bidang perubatan, Malaysia dijangka melahirkan 60 peratus atau 3,600 siswazah perubatan bumiputera setiap tahun namun tidak semua berpeluang untuk dilantik ke dalam perkhidmatan sebagai pegawai perubatan.
Hanya 50 peratus bersamaan 1,800 siswazah daripada jumlah tersebut diserap ke dalam perkhidmatan berdasarkan perjawatan sedia ada selepas masing-masing menamatkan kontrak manakala selebihnya dijangka menganggur.
Dalam tempoh 10 tahun akan datang, negara dijangka merekodkan 18,000 graduan perubatan bumiputera masih belum mendapat pekerjaan kerana kerajaan hanya mampu menyerap separuh daripada mereka selain berdasarkan siapa lebih layak dilantik ke dalam perkhidmatan tetap.
Saban tahun, bilangan graduan universiti tempatan meningkat dan merekodkan lebih lima juta orang pada tahun 2019 iaitu 5.29 juta dengan peningkatan 6.9 peratus berbanding 4.94 juta pada 2018 sekali gus membuktikan negara mampu menyediakan keperluan pendidikan tinggi kepada rakyat termasuk penuntut-penuntut asing melalui 20 universiti awam dan 435 universiti swasta.
Seramai 4.4 juta orang (2019) dan 3.9 juta (2018) memasuki bidang pekerjaan atau meliputi 96.1 peratus daripada keseluruhan graduan. – UTUSAN










