PETALING JAYA: Kedutaan Besar Malaysia di Doha, Qatar mengeluarkan notis kepada rakyat Malaysia yang berada di negara itu supaya terus berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa susulan situasi terkini di rantau Asia Barat.
Menerusi kenyataan bertarikh 28 Februari, rakyat Malaysia di Qatar dinasihatkan agar mendapatkan maklumat hanya daripada sumber-sumber sahih termasuk pengumuman rasmi pihak berkuasa Qatar dan Kedutaan Besar Malaysia.
Kedutaan turut mengingatkan orang ramai supaya mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak disahkan bagi mengelakkan kekeliruan.
“Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang masih belum berdaftar dengan pihak kedutaan diminta berbuat demikian melalui sistem e-Konsular di pautan https://ekonsular.kln.gov.my/login
bagi memudahkan urusan sekiranya berlaku kecemasan.
“Sekiranya memerlukan bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi talian +974 3374 6733 (kecemasan sahaja) atau emel [email protected],” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kedutaan Besar Malaysia di Doha menegaskan komitmennya untuk terus memantau perkembangan semasa dan memastikan kebajikan serta keselamatan rakyat Malaysia sentiasa terpelihara. – UTUSAN











