Impian raya tujuh sekeluarga musnah

Impian raya tujuh sekeluarga musnah

SITI Hajar Hassan (kanan) dan suami, Hasnul Hadi Yahya bersama anak hanya mampu melihat keadaan rumah mereka yang musnah dalam kebakaran di Jalan Sungai Padang, Arau, Perlis semalam.– UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Tujuh sekeluarga berdepan ujian besar dalam bulan Ramadan apabila tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang diduduki musnah dalam kebakaran di Jalan Sungai Padang di sini kelmarin.

Bagaimanapun kejadian ki­ra-kira pukul 5 petang itu tidak melibatkan kemalangan nyawa dan kecederaan apabila kesemua mereka sempat menyelamatkan diri.

Mangsa, Siti Hajar Hassan, 34, berkata, dia tidak menduga rumahnya terbakar ketika seluruh keluarga terutama empat anak yang berusia dalam lingku­ngan dua hingga 12 tahun begitu gembira menyambut Ramadan dan telah melakukan persedia­an awal menyambut Aidilfitri tahun ini.

Katanya, ketika kejadian, dia sedang memasak di dapur, manakala ibunya, Manis Salleh, 75, pula baru selesai membakar sampah di luar kediaman mereka.

“Selepas membakar sampah, emak saya kemudian masuk ke dalam rumah untuk tidur namun tiba-tiba terhidu asap dan telah keluar semula dari rumah berkenaan. Saya yang berada di dapur juga mulai perasan kepulan asap tebal dan keadaan api sudah marak di bahagian setor rumah. 

“Saya kemudian cuba untuk masuk semula ke salah sebuah bilik bagi menyelamatkan barangan penting namun berpatah balik kerana sesak nafas dalam keadaan api yang sedang marak itu. Hanya dalam masa 10 minit sahaja, rumah yang didiami bersama suami, emak dan empat anak itu musnah sekelip mata,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Katanya, segala persiapan awal raya turut musnah dalam kebakaran itu dan Aidilfitri kali ini agak tidak bermakna.

“Saya telah belanjakan RM400 bagi membeli kelengkapan raya buat kami sekeluarga seperti baju, kasut dan pelbagai lagi namun semuanya telah musnah.

“Aidilfitri tahun ini merupakan kali pertama kami membuat persiapan awal membeli kelengkapan raya namun kami sekeluarga telah diuji dengan kejadian ini. 

“Anggaran keseluruhan kerugian mencecah RM70,000 meliputi kemusnahan rumah, kereta dan beberapa barangan berharga lain,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×