Jawatan Hamzah, Mas Ermieyati di Parlimen kekal

Jawatan Hamzah, Mas Ermieyati di Parlimen kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun di­pecat dan tidak lagi memegang jawatan dalam Parti Pribumi Ber­satu Malaysia (Bersatu), ke­dudukan Da­tuk Seri Hamzah Zai­nudin sebagai Ketua Pembangkang dan Datuk Mas Er­mie­yati Samsudin sebagai Pe­ngerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Parlimen kekal.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tiada notis rasmi diterima berhubung pertukaran jawatan berkenaan.

“Kedudukan Ahli Parlimen Larut sebagai Ketua Pembangkang kekal sehingga penghujung sidang Dewan Rakyat,” ka­tanya pada sidang akhbar di Parlimen semalam.

Katanya, setakat ini tiada pemberitahuan daripada pihak pembangkang mengenai perubahan Ketua Pembangkang.

“Tambahan pula, sidang hanya berbaki dua hari sebelum ber­akhir,” katanya.

Katanya, sebarang perubahan jawatan penting memerlukan proses peraturan Dewan Rakyat dan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa termasuk rundingan dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang.

Namun katanya, kedudukan semasa adalah sah dan tidak menimbulkan isu peraturan.

“Kami menggesa semua pi­hak menghormati keputusan yang telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran persidangan,” katanya.

Sementara itu, Mas Ermieyati, yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, mengesahkan masih mengetuai PAC dan tiada perubahan setakat ini.

“Setakat ini tiada perubahan, saya masih bersama PAC,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mas Ermieyati sebelum ini mengumumkan peletakan ja­watan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah, bersama 39 ahli jawatankuasa bahagian lain.

Beliau antara pemimpin ka­nan Bersatu yang secara terbuka meluahkan kekecewaan terhadap Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan menggesa bekas Perdana Menteri itu melepaskan jawatannya.

Malah, beliau turut dilihat rapat dengan Hamzah selepas menghadiri program ‘reset’, taklimat hala tuju Ketua Pembangkang kepada penyokongnya.

Isu ketua pembangkang timbul susulan krisis dalaman Bersatu yang menyaksikan Hamzah, Timbalan Presiden Bersatu, dipecat daripada parti itu. Konflik dalaman ini turut menimbulkan spekulasi mengenai kedudukan dua pemimpin berkenaan.

Desakan wujud dalam Bersatu untuk menukar jawatan Ketua Pembangkang, tetapi mengikut amalan pemilihan biasa, jawatan itu perlu diputuskan secara konsensus oleh Ahli Parlimen pembangkang.

Kini, Pas memiliki 43 Ahli Parlimen manakala Bersatu mempunyai 25 wakil yang terpecah kepada dua kumpulan, masing-masing menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Hamzah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×