Trend rentvesting jadi pilihan golongan muda bina kekayaan - Utusan Malaysia

Trend rentvesting jadi pilihan golongan muda bina kekayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Golongan muda di Malaysia kini beralih kepada trend ‘rentvesting’ sebagai strategi membina kekayaan dengan memilih untuk menyewa kediaman di bandar besar, namun dalam masa sama memiliki hartanah pelaburan di lokasi lain.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, strategi itu membolehkan pelabur muda memasuki pasaran hartanah lebih awal dengan modal pendahuluan yang lebih kecil di kawasan yang mempunyai prospek pertumbuhan tinggi.

“Menyewa di tempat tinggal sendiri tidak bermakna anda tidak mampu memiliki hartanah. ‘Rent-vesting’ adalah kaedah fleksibel yang membolehkan anda melabur di mana-mana sahaja di seluruh negara tanpa terikat dengan lokasi tempat tinggal.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebagai contoh, seseorang mungkin menyewa pangsapuri berdekatan tempat kerja di Kuala Lumpur, tetapi memiliki hartanah pelaburan di Johor atau Selangor yang menawarkan hasil sewaan (yield) dan potensi kenaikan harga yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Kashif, pelabur juga berpeluang memanfaatkan insentif kerajaan seperti pengecualian duti setem dan pelepasan cukai pendapatan bagi faedah pinjaman perumahan sementara ia masih ditawarkan.

Bagaimanapun, beliau berkata, hartanah di bawah program seperti PR1MA, RUMAWIP (Residensi Wilayah), PPA1M dan Rumah Selangorku secara amnya tidak dibenarkan untuk disewakan kepada pihak lain. 

Analisis Juwai IQI menunjukkan pelabur ‘rentvesting’ mampu membina aset melebihi RM260,000 dalam tempoh 10 tahun melalui ekuiti hartanah dan kenaikan nilai pasaran, berbanding penyewa biasa yang tidak membina sebarang ekuiti.

“Jika melabur dengan bijak, pendapatan sewaan daripada hartanah pelaburan boleh mengurangkan kos tunai perumahan bersih sehingga 20 peratus lebih rendah berbanding mereka yang hanya menyewa tanpa melabur,” jelasnya.

Mengulas mengenai lokasi tumpuan, Kashif berkata, penting untuk memilih kawasan yang menawarkan hasil sewaan kasar yang tinggi serta kenaikan harga yang kukuh.

Data menunjukkan Johor Bahru menawarkan prospek paling menarik dengan pertumbuhan harga sebanyak 5.3 peratus dan hasil sewaan antara 5 hingga 6.5 peratus. 

Kuala Lumpur pula mencatatkan pertumbuhan harga 2.1 peratus dengan hasil sewaan 4.0 hingga 6.0 peratus, manakala Pulau Pinang mencatatkan pertumbuhan harga sekitar 3.1 peratus.

“Golongan muda hari ini dilihat lebih bersemangat untuk maju dengan cepat. Walaupun zaman berubah, prinsip ‘sikit-sikit, lama-lama jadi bukit’ tetap menjadi asas dalam membina kekayaan melalui pelaburan yang bijak,” tambahnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN