Kuih Talam Mak Anjang terima tempahan 800 bekas sehari - Utusan Malaysia

Kuih Talam Mak Anjang terima tempahan 800 bekas sehari

SOM Abdul Halim bersama Yusrina Muhamad Yusuf menunjukkan kuih talam di premis perniagaan mereka di Jitra, Kubang Pasu, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Sepanjang Ramadan, Kuih Talam Mak Anjang antara menu diburu pelanggan di Kedah dan Pulau Pinang menyebabkan pengusahanya perlu menyiapkan tempahan sehingga 800 bekas sehari.

Som Abdul Halim, 77, berkata, permintaan tahun ini meningkat sehingga 14 pekerjanya tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan bermula pukul 12 tengah malam setiap hari sejak 1 Ramadan.

“Sehari kami siapkan sehingga 800 talam sebelum diagih kepada lebih 30 ejen dari seluruh Kedah dan Pulau Pinang.

“Terdapat lebih enam jenis kuih talam, yang paling popular seri muka kerana kuih ini yang mula-mula saya perkenalkan apabila berniaga pada 1976,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Jitra di sini.

Warga emas itu berkata, pada hari biasa sekitar 200 hingga 400 talam dihasilkan bergantung kepada permintaan termasuk pada musim cuti sekolah.

“Permintaan akan bertambah kalau cuti sekolah sebab banyak kenduri kahwin. Setelah 50 tahun berniaga, masih banyak yang menggemarinya dan ramai yang mahu jadi ejen untuk Ramadan ini, cuma setakat ini kami tidak mampu lagi untuk menambah tempahan,” katanya.

Cucu Som, Yusrina Muhamad Yusof, 36, berkata, setiap tempahan perlu disiapkan sebelum pukul 12 tengah hari untuk diagihkan kepada ejen termasuk di bazar Ramadan.

“Kalau hari biasa pukul 4 pagi baru mula memasak tetapi bulan puasa mula awal kerana tempahan banyak. Kesemua kuih talam ini menggunakan resipi nenek, ketika dia mula menjual dulu supaya rasanya sama,” katanya.

Yusrina berkata, walaupun berhadapan dengan cabaran seperti kenaikan harga bahan mentah, mereka tetap mengekalkan keaslian rasa.

“Santan bahan penting dalam kuih talam, walaupun harga sudah meningkat sehingga RM18 sekilogram , kami masih menggunakan kuantiti santan yang sama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×