KUANTAN: Sebanyak 728.10 kilogram (kg) lebihan makanan di bazar-bazar Ramadan seluruh Pahang diselamatkan daripada dibuang dalam tempoh lima hari berpuasa, tahun ini.
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Cairul Hisham Jalaluddin berkata, angka itu direkodkan setakat kelmarin menerusi pelaksanaan Program MySaveFood.
Katanya, lebihan makanan yang masih elok diagihkan ke masjid-masjid serta komuniti setempat sebagai usaha mengurangkan pembaziran sepanjang Ramadan.
“Hasil pemantauan mendapati kebanyakan peniaga kini lebih peka dan berhemah dalam merancang jumlah penyediaan makanan bagi memastikan penjualan optimum serta mengurangkan pembaziran.
“Bagaimanapun, data keseluruhan kutipan sisa makanan tidak habis dijual di bazar Ramadan di seluruh negeri ini belum dapat diperincikan sepenuhnya memandangkan tempoh pelaksanaan baharu memasuki peringkat awal.
“Namun setakat ini, kuantiti sisa makanan tidak habis dijual adalah terkawal dan tidak menunjukkan peningkatan yang ketara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Program MySaveFood dilaksanakan secara berfasa bermula 23 Februari hingga 15 Mac ini melibatkan beberapa lokasi utama termasuk Indera Mahkota dan Mahkota Square (Kuantan), Taman Tasik (Pekan) serta Kuala Lipis dan Muadzam Shah di Rompin.
Cairul Hisham berkata, sebagai inisiatif tambahan, pihaknya menyediakan mesin kompos di Bazar Ramadan Mahkota Square bagi memproses sisa makanan menjadi baja untuk kegunaan pertanian dan landskap komuniti.
Dalam pada itu, di Kota Bharu, Kelantan, Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia (GEMA) menyelamatkan hampir RM10,000 nilai lebihan makanan dari bazar Ramadan daripada dibuang.
Pengerusi GEMA Kelantan, Muhammad Azam Borhan berkata, ia melibatkan 632.22kg lebih makanan yang dikutip sepanjang empat hari umat Islam menjalani ibadah puasa.
Katanya, semua makanan itu diserahkan kepada pengurusan masjid sekitar bandar itu untuk diagihkan kepada golongan kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah.
“Selain itu, kita turut agihkan makanan ini kepada pelajarpelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menerusi Gerakan Pengguna Siswa (GPS) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
“Setakat ini kita tempatkan sukarelawan di lima bazar Ramadan iaitu Mydin Tunjong, Stadium Sultan Muhammad IV, Lembah Sireh, Pengkalan Chepa dan Kok Lanas,” katanya. – UTUSAN










