KUALA LUMPUR: Seorang penjual apam balik didenda RM11,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menghantar video lucah menerusi aplikasi X, dua tahun lalu.
Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu selepas merekodkan pengakuan Muhammad Azmirul Iman Ulul Azmi, 23, yang didakwa sebagai Orang Kena Saman (OKS).
Jika gagal membayar denda itu, dia boleh dihukum penjara selama enam bulan dan OKS membayar denda tersebut.
Mahkamah turut mengarahkan barang kes yang berupa telefon pintar jenama iPhone 11 Pro Max yang digunakan OKS bagi tujuan itu dilucut hak dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk dilupuskan.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Azmirul didakwa telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berbentuk video lucah melalui laman media sosial itu dengan niat untuk mengganggu orang lain, pada pukul 11.32 malam, 29 Mac 2024.
Hantaran itu kemudian telah dilihat oleh individu lain di sebuah kediaman di Desa Pandan, di sini pada pukul 11 pagi, 4 April 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan hendaklah didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Nur Nazhzilah Mohammad Hashim manakala lelaki itu tidak diwakili peguam.
Nur Nazhzilah memohon Muhammad Azmirul dikenakan hukuman yang setimpal kerana perbuatan memuat naik kandungan lucah merupakan kesalahan serius dan memberi kesan besar kepada masyarakat.
“Aplikasi itu mudah diakses oleh kanak-kanak pada bila-bila masa. Pendedahan kandungan lucah secara berterusan menyumbang kepada keruntuhan moral, seks bebas, penularan penyakit pelamin, lambakan kes anak luar nikah dan masalah jenayah seksual,” katanya.
Bagaimanapun, Muhammad Azmirul yang masih bujang merayu agar dikenakan hukuman denda yang rendah kerana hanya bergantung kepada sumber pendapatan dengan membantu bapanya berniaga apam balik.
Dia juga telah menyesal dengan kesalahan pertama yang dilakukannya itu.
Mengikut fakta kes, seorang pengadu lelaki telah membuat aduan melalui portal aduan dalam talian MCMC selepas terganggu apabila terlihat video lucah tersebut yang dijual secara terbuka.
Pada 4 Februari 2025, satu operasi pemeriksaan yang disertai oleh beberapa pegawai polis dan pegawai MCMC telah dibuat terhadap Muhammad Azmirul di Balai Polis Mentakab, Pahang.
Hasil pemeriksaan mendapati kandungan-kandungan berkaitan terdapat di dalam telefon pintar milik lelaki itu. – UTUSAN










