PETALING JAYA: Gempa bumi bermagnitud 6.8 Richter yang melanda perairan Sabah adalah yang terkuat melanda negara dalam tempoh 11 tahun, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisyam Mohd. Anip.
Beliau berkata, kejadian gempa terkuat sebelum ini pernah direkodkan melanda daerah Ranau,Sabah dengan magnitud 6.0 Richter pada 5 Jun 2015.
“Gempa bumi dengan magnitud 6.8 malam tadi adalah rekod gempa terkuat ketika ini yang sebelumnya, rekod meletakkan gempa di Ranau pada 2015 dengan magnitud 6.0 adalah yang terkuat.
“Pernah juga berlaku dengan magnitud 6.2 di Lahad Datu, namun ketika itu teknologi dan alat ukur kita masih terhad sebelum mendapat alat ukur yang sekarang daripada Amerika Syarikat (AS).
“Melihat rekod semalam, gempa tersebut merekodkan tempoh gegaran sekitar 10 hingga 15 saat” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, MetMalaysia masih memantau perkembangan gempa di Sabah dan setakat ini, tiada sebarang gempa susulan direkodkan.
Katanya, ketika ini, MetMalaysia turut menjalankan pemantauan rapi secara berterusan kepada aktiviti seismik di kawasan terlibat.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berkait kejadian gempa bumi di perairan Sabah.
“Tiada panggilan kecemasan diterima Bomba berkaitan kejadian tersebut. Namun, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan BBP Putatan keluar untuk membuat pemantauan.
“Setakat ini, tiada kes penyelamatan dilaksanakan hasil kejadian gempa semalam,” katanya. – UTUSAN










