ISLAMABAD: Pakistan mengesahkan melancarkan beberapa serangan udara menyasarkan kumpulan militan di negara jirannya, Afghanistan, di mana kerajaan Taliban melaporkan kanak-kanak antara puluhan yang terkorban dan cedera.
Serangan semalaman itu merupakan yang paling meluas sejak pertempuran sempadan pada Oktober lalu yang meragut lebih 70 nyawa dan mencederakan ratusan lagi di kedua-dua belah pihak.
Islamabad menyatakan mereka menyasarkan tujuh lokasi kumpulan militan yang beroperasi dari Afghanistan di sepanjang wilayah sempadan susulan insiden serangan bom bunuh diri di sebuah masjid Syiah di Islamabad dua minggu lalu dan beberapa serangan serupa di barat laut Pakistan.
Kumpulan IS mengaku bertanggungjawab terhadap serangan masjid itu, yang meragut sekurang-kurangnya 40 nyawa dan mencederakan lebih 160 orang sekali gus menjadikannya serangan paling maut di Islamabad sejak 2008.
Anak cabang kumpulan itu di rantau, Islamic State-Khorasan (IS-K), turut menuntut tanggungjawab terhadap serangan bom bunuh diri di sebuah restoran di Kabul bulan lalu.
Tentera Pakistan menumpukan serangan terhadap Taliban Pakistan dan sekutunya, serta sekutu kumpulan IS, menurut kenyataan Kementerian Maklumat dan Penyiaran Pakistan.
Kementerian pertahanan Afghanistan pula menyatakan puluhan orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, terkorban serta cedera apabila serangan melanda sebuah madrasah dan beberapa rumah di wilayah Nangarhar dan Paktika.
Seorang wartawan AFP di daerah Bihsud, Nangarhar, melaporkan penduduk dari kawasan berbukit dan terpencil itu turut membantu pasukan penyelamat menggunakan jentolak dan cangkul untuk mencari mayat di bawah runtuhan.
“Penduduk di sini ialah orang biasa. Penduduk kampung ini adalah saudara-mara kami. Apabila bom meletup, seorang yang terselamat menjerit meminta tolong,” kata seorang penduduk, Amin Gul Amin, 37.
Polis Nangarhar memberitahu AFP serangan bermula kira-kira tengah malam dan menjejaskan tiga daerah.
“Orang awam terbunuh. Di sebuah rumah, terdapat 23 ahli keluarga. Lima orang yang cedera berjaya dikeluarkan,” kata jurucakap polis, Sayed Tayeeb Hammad.
Kementerian Pertahanan Afghanistan menyatakan mereka akan memberi tindak balas yang sesuai dan terancang terhadap serangan Pakistan tersebut.
Kedua-dua negara terlibat dalam pertikaian yang semakin tegang sejak Taliban kembali berkuasa di Afghanistan pada 2021.
Beberapa rundingan dijalankan selepas gencatan senjata awal yang dimediasi Qatar dan Turkiye, tetapi gagal mencapai persetujuan jangka panjang.
Bulan ini, Arab Saudi campur tangan untuk menjadi pengantara pembebasan tiga tentera Pakistan yang ditahan Afghanistan sejak Oktober lalu.
Hubungan yang merosot memberi kesan kepada rakyat kedua-dua negara, dengan sempadan darat ditutup hampir sepanjang beberapa bulan.
Pakistan menyatakan walaupun sering mendesak, pihak berkuasa Taliban gagal mengambil tindakan terhadap kumpulan militan yang menggunakan wilayah Afghanistan untuk melancarkan serangan di Pakistan. Kerajaan Afghanistan menafikan melindungi militan.-AFP










