ALOR SETAR: Harga ikan kembung di Kedah meningkat ketara sejak tiga bulan lalu sehingga mencecah RM20 sekilogram mengikut gred.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd. Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pengguna tentang kenaikan itu, lantas menyebabkan mereka tidak mampu lagi membeli ikan berkenaan.
“Cake menerima aduan kenaikan harga ikan kembung atau ‘ikan rakyat’ ini yang dikatakan berlaku sejak tiga bulan lalu, harga ikan ini tidak turun-turun dan berada di paras RM15 sekilogram dan ada ketika sehingga RM20 sekilogram.
“Ini membebankan pengguna dan banyak yang mengadu kepada saya bahawa sudah lama tidak beli ikan kembung sebab nak tunggu harga ikan itu turun. Kita tahu bahawa harga ikan ikut cuaca apabila musim kemarau atau tengkujuh, akan berlaku kenaikan harga,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Mohd. Yusrizal berkata, agensi terlibat perlu proaktif menangani isu tersebut bagi membantu pengguna terutama golongan berpendapatan rendah.
“Setakat ini, kita tidak nampak usaha untuk menurunkan harga ini. Dahulu kerajaan memperkenal ikan sejuk beku, apabila berlaku kekurangan tangkapan kita ada bekalan untuk menampungnya dan kekang kenaikan harga.
“Saya juga dimaklumkan kenaikan ini dijangka berlarutan sekurang-kurangnya tiga bulan lagi ekoran cuaca yang tidak menentu ketika ini,” katanya.
Tinjauan di Pasar Besar Alor Setar mendapati, harga ikan kembung antara RM8 hingga RM16 sekilogram mengikut gred berbanding hanya RM5 hingga RM10 sebelum ini.
Peniaga yang ditemui mendakwa, bekalan berkurangan kerana musim tengkujuh pada tahun lalu mempengaruhi faktor kenaikan harga tersebut.
Pengunjung, Ismail Said, 72, berkata, sudah lama dia tidak membeli ikan kembung ekoran harga yang terlalu mahal, sebaliknya memilih ayam terutama bagi kegunaan Ramadan.
“Dulu ikan kembung jadi pilihan sebab murah. Sekarang nak beli memang tak mampu kerana harga sudah hampir sama dengan ikan lain. Ayam lebih murah daripada ikan. Tetapi sekali sekala beli juga 500 gram kerana tak boleh juga nak makan ayam selalu,” katanya. – UTUSAN










