Atur strategi khatam al-Quran

Atur strategi khatam al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALHAMDULILLAH, kita kini berada dalam bulan Ramadan. Penghulu segala bulan dan digelar juga bulan rahmat serta pengampunan. Justeru, janganlah kita berlengah.

Sebaliknya, mari susun strategi agar Ramadan kali ini menjadi yang terbaik dalam segi meningkatkan kualiti ibadah kita.

Nabi Muhammad SAW berkhutbah pada akhir Syaaban dengan bersabda “Telah datang kepada kamu Ramadan, bulan yang dipenuhi keberkatan. Allah SWT mewajibkan puasa, pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup, syaitan dibelenggu. Padanya satu malam yang terlebih baik dari seribu bulan dan sesiapa yang diharamkan kebaikanya sesungguhnya ia telah diharamkan.” (Riwayat Nasaie)

Kita sedia maklum, Ramadan adalah bulan al-Quran diturunkan. Ia dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (al-Baqarah: 185)

Sememangnya banyak amalan yang dapat dilakukan dalam Ramadan. Antaranya, membaca al-Quran atau disebut tadarus al-Quran. Bahkan ada hadis yang menganjurkan kita bertadarus al-Quran.

Ia sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: Daripada Ibnu Abbas berkata, “Rasulullah SAW adalah manusia yang paling lembut terutama pada Ramadan ketika malaikat Jibril menemuinya dan adalah Jibril mendatanginya setiap malam Ramadan, di mana Jibril mengajarkannya al-Quran. Sungguh Rasulullah SAW orang yang paling lembut daripada angin yang berhembus.” (Riwayat Bukhari)

Hadis tersebut menjelaskan Ramadan adalah waktu khusus bagi Rasulullah SAW membaca al-Quran. Sebab pada bulan ini malaikat Jibril mengajarkannya tentang al-Quran.

Hadis ini juga menunjukkan Nabi SAW mengkhatamkan al-Quran sekali setahun iaitu pada Ramadan. Kecuali menjelang wafat, Rasulullah SAW mengkhatamkan al-Quran sebanyak dua kali.

Hadis tersebut juga menjadi sandaran para ulama menganjurkan bertadarus al-Quran pada Ramadan. Kalimah Tadarus berasal dari dars yang bermakna belajar, meneliti, memahami dan mengkaji.

Kemudian ditambah di hadapan kalimah itu dengan huruf Ta’. Maka jadilah ia tadaras yang bermakna saling belajar, saling meneliti, saling memahami dan saling mengkaji.

Oleh itu, apabila digabungkan menjadi tadarus al-Quran, maka maknanya menjadi saling mempelajari,memahami dan meneliti ilmu al-Quran.

Di negara kita. Tadarus al-Quran memang bukan asing. Cuma yang perlu diperbetulkan adalah sesetengah orang beranggapan tadarus itu untuk berlumba-lumba, siapa lebih cepat khatam.

Ini menyebabkan perkara utama seperti hal tajwid tidak dipedulikan. Bab makhraj huruf, panjang pendek bacaan dan seumpamanya diabaikan.

Ada pula yang sudah siap bagi-bagikan surah mana yang perlu si A dan B baca. Kemudian, sambung lagi dengan surah atau juzuk berikutnya tanpa menepati konsep saling belajar dan meneliti dalam tadarus.

Apa pun, yang penting, jangan biarkan walaupun sehari Ramadan berlalu tanpa membaca al-Quran. Sudahlah pada bulan-bulan lain kita sibuk dengan hal-hal dunia, Maka, mari kita pastikan Ramadan menjadi bulan untuk kita membaca dan mentadabbur al-Quran.

Tadarus itu sepatutnya bermaksud membaca al-Quran seorang demi seorang dalam satu kumpulan. Seorang membacanya dan yang lain mendengar, kemudian disambung pula orang yang berikutnya dan yang lain mendengar.

Begitulah seterusnya sehingga semua orang membacanya. Kebaikan membaca al-Quran secara bertadarus ialah dapat mengetahui kesalahan bacaan apabila ditegur dan dapat mengelokkan mutu bacaan pada kali berikutnya.

 

RAMADAN adalah bulan untuk mentadabbur dan memperbaiki bacaan al-Quran melalui tadarus yang sebenar.

Baca dua helai setiap solat

Antara strategi yang boleh dipraktikkan agar kita boleh khatam al-Quran sekurang-kurangnya sekali pada Ramadan adalah membacanya selepas setiap solat fardu.

Satu juz al-Quran mengandungi kira-kira 10 helai. Jadi, setiap kali selepas solat, peruntukkan masa kira-kira 10 ke 15 minit untuk membaca empat halaman atau dua muka surat.

Jika diamalkan secara istiqamah, insya-Allah kita mampu khatam al-Quran pada 30 Ramadan. Umumnya, jika kita baca hanya satu ayat sehari, kita akan khatam dalam tempoh 17 tahun, 8 bulan dan sembilan hari.

Jika kita baca 10 ayat sehari, akan khatam dalam masa setahun sembilan bulan tiga hari. Jika baca dua muka surat sehari, akan khatam dalam masa 10 bulan enam hari.

Namun, jangan kita lepaskan gandaan pahala yang Allah janjikan kepada hamba-hamba-Nya terutama dalam Ramadan.

Antara hadis-hadis berkaitan pahala berganda pada Ramadan:

– Pahala amalan umum (10 hingga 700 kali ganda)
• Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap amalan anak Adam digandakan pahalanya daripada 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda.” (Riwayat Muslim).

-Amalan sunat bernilai fardu
 • Terdapat riwayat yang menyebutkan bahawa amalan sunat pada Ramadan bernilai seperti amalan fardu dan amalan fardu bernilai seperti 70 kali ganda keistimewaan membaca dan menghafal al-Quran.

-Syafaat 10 anggota keluarga ke syurga

• Daripada Ali Abu Talib, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa membaca al-Quran dan menghafaznya, Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dan memberi hak syafaat kepadanya untuk 10 anggota keluarganya, mereka semuanya telah ditetapkan untuk masuk syurga.” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi).

-Berada dalam rahmat Allah
• Daripada Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud: “Tidak ada orang yang berkumpul di salah satu rumah Allah untuk membaca dan mempelajari al-Quran, kecuali mereka akan dikelilingi para malaikat dan mereka sentiasa disebut-sebut oleh Allah dalam kalangan para malaikat (yang di langit).” (Riwayat Muslim).

-Diberi ganjaran pahala mengikut huruf yang dibaca
• Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa membaca satu huruf dari kitab Allah (al-Quran), maka dia akan memperolehi pahala satu kebajikan dan setiap satu pahala itu digandakan 10 kali. Aku tidak mengatakan bahawa Alif, Lam, Mim itu satu huruf, tetapi Alif itu adalah satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Riwayat At-Tirmidzi)

-Diberi syafaat kepada pembacanya
• Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a. katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran, sesungguhnya dia akan datang pada hari kiamat bagaikan pemberi syafaat kepada tuannya.” (Riwayat Muslim)

-Dipakaikan mahkota pada hari kiamat
• Daripada Mu’az bin Anas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca al-Quran dan beramal dengan apa yang terdapat di dalamnya, Allah akan memakaikan ibu bapanya dengan mahkota pada hari kiamat kelak. Cahaya mahkota itu lebih indah daripada cahaya matahari terhadap rumah-rumah yang ada di dunia. Maka apakah pandangan kamu tentang balasan yang akan diperolehi oleh orang yang membaca sendiri?” (Riwayat Abu Daud). –UTUSAN

MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×