MANILA: Naib Presiden Filipina, Sara Duterte mengumumkan beliau akan bertanding untuk merebut jawatan Presiden negara Asia Tenggara dengan populasi 116 juta orang itu pada 2028.
Duterte, yang terlibat dalam perselisihan politik sengit dengan Presiden, Ferdinand Marcos Jr., hampir berdepan usul pemecatan tahun lalu, namun Mahkamah Agung membatalkan kes tersebut atas isu prosedur.
Pengumuman beliau dibuat hanya beberapa hari sebelum bapanya, bekas Presiden, Rodrigo Duterte memulakan sesi pra-perbicaraan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) di Belanda atas tuduhan jenayah kemanusiaan yang didakwa dilakukan dalam operasi memerangi dadah.
“Saya menawarkan hidup saya, kekuatan saya dan masa depan saya untuk berkhidmat kepada negara kita. Saya Sara Duterte akan bertanding sebagai Presiden Filipina,” katanya pada sidang media sambil mengkritik Marcos Jr.
Sara menuduh Marcos Jr. terlibat dalam rasuah, mengatakan beliau gagal menepati janjinya semasa pakatan singkat mereka yang membawa kemenangan besar dalam pilihan raya Presiden 2022.
“Sejak beberapa bulan pertama dalam jawatan kami, saya sudah melihat sifat tidak ikhlas Marcos Jr. mengenai janji yang dibuat semasa kempen, serta tanggungjawab beliau kepada negara,” katanya
Penyelidik Kanan Pusat Dasar Ateneo, Michael Henry Yusingco berkata, pengumuman kempen itu mencetus risiko besar, tetapi asas sokongan kukuh beliau di wilayah Mindanao bakal memberi kelebihan.
“Pemikiran konvensional mengatakan beliau mempunyai peluang terbaik untuk menang. Angka dalam tinjauan menyokong beliau, namun ketiadaan bapanya mungkin mengecewakan penyokong,” katanya.
Presiden Filipina dihadkan kepada satu penggal enam tahun sahaja, yang menyingkirkan Marcos Jr. daripada bertanding semula.
Bagaimanapun Yusingco berkata, pentadbiran Marcos Jr. kini mungkin menjadi lebih terbuka menentang Sara berikutan pengumuman itu.
“Di belakang tabir, mereka mungkin akan mengusahakan pemecatan beliau,” katanya.-AFP










