KLUANG: Mana-mana parti yang mahu menarik bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dibuang atau meletakkan jawatan perlu diterima secara en-bloc dan bukannya secara individu.
Bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Zulkifli Bujang berkata, terdapat dalam kalangan mereka dipecat bukan atas kehendak peribadi, sebaliknya ia mewakili suara majoriti akar umbi yang mahu parti diselamatkan.
“Antara kami ada dipecat dan kemudian sepakat buat keputusan letak jawatan, justeru tindakan ini adalah suara majoriti dan bukan individu, ini bermakna jika kami mahu menerima tawaran mana-mana pihak lain, ia akan dibuat secara berkumpulan.
“Parti politik adalah platform untuk berbakti, tetapi perjuangan kita tetap sama iaitu agama, bangsa dan tanah air, jadi walaupun tanpa parti politik kita akan tetap berbakti melalui platform lain seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Pada Ahad lalu, Zulkifli memaklumkan dirinya telah dipecat dan mendakwa tindakan itu tanpa melalui proses disiplin yang telus dan adil.
Menurutnya, beliau hanya dimaklumkan berhubung perkara itu melalui aplikasi WhatsApp tanpa diberi peluang untuk membela diri.
Zulkifli merupakan salah seorang daripada 17 ahli Bersatu termasuklah Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipecat atas dakwaan telah melanggar Perlembagaan Bersatu. – UTUSAN










