Hamzah gesa semangat 'reset' diterjemah kepada tindakan

Hamzah gesa semangat ‘reset’ diterjemah kepada tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa supaya semangat ‘reset’ (set semula) diterjemahkan kepada tindakan nyata.

Menurutnya, semangat itu memerlukan komitmen, amanah serta tanggungjawab yang dilaksanakan secara ikhlas dan jujur.

Tegas beliau, reset atau pembaharuan yang ingin dilakukan bukan hanya slogan atau manifestasi sokongan kepada mana-mana individu tertentu.

“Reset adalah langkah permulaan ke arah pembetulan dan penambahbaikan yang akan menjadi asas kepada pembinaan semula kekuatan kolektif demi masa hadapan negara yang lebih jelas dan meyakinkan.

“Bergerak ke hadapan, reset menuntut keberanian, kejujuran dan kesungguhan untuk melakukan perubahan.

“Reset bukan sekadar menoleh ke belakang dengan penyesalan, tetapi melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dipecat daripada keahlian Bersatu berkuat kuasa serta-merta selepas Lembaga Disiplin membuat keputusan selaras dengan Fasal 22.5 Perlembagaan parti.

Selain Hamzah, tiga lagi Ahli Parlimen dari Bersatu turut dipecat iaitu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Azahari Hasan (Padang Rengas) dan Fathul Huzir Ayob (Gerik).

Susulan pemecatan tersebut, seramai 19 Ahli Parlimen Bersatu dilaporkan menghadiri Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik bersama Hamzah pada 14 Februari lalu.

Hamzah dalam pada itu turut meluahkan penghargaan atas kehadiran rakan-rakannya dalam program yang diadakan di Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) baru-baru ini itu.

“Saya berasa amat terharu atas kehadiran sahabat-sahabat di PAUM tempoh hari.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada penganjur, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, serta rakan-rakan Ahli Parlimen yang sudi menjemput saya sebagai Ketua Pembangkang.

“Ramai rakan dari seluruh negara hadir dalam majlis tersebut, termasuk sahabat daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Ia membuktikan bahawa nilai perjuangan ini tidak dapat dihalang oleh mana-mana pihak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×