KANGAR: Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta dipandu secara agresif oleh seorang lelaki yang membawa dadah disyaki jenis syabu seberat 98.73 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM4.9 juta semasa pemeriksaan berhampiran pondok kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA), Jalan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), di sini, Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, satu das tembakan dilepaskan ke arah tayar kereta dipandu suspek berusia 20-an itu susulan tindakannya merempuh kenderaan pasukan serbuan semasa operasi tersebut.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan dipandu suspek menemukan empat guni putih di dalamnya mengandungi dadah disyaki jenis syabu seberat 98.73 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM4.9 juta.
Katanya, berikutan tindakan merempuh kenderaan pasukan serbuan, suspek berkenaan turut mengalami kecederaan pada bahagian muka, tangan dan kaki.
“Siasatan awal juga mendapati modus operandi suspek adalah dengan menggunakan laluan tikus di sempadan Padang Besar-Thailand sebagai laluan penyeludupan dadah sebelum dihantar ke selatan tanah air,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, hari ini.
Muhammad berkata, berdasarkan siasatan, jumlah rampasan berkenaan mampu menampung kegunaan kira-kira 493,650 penagih.
Muhammad berkata, suspek dipercayai menerima upah mencecah puluhan ribu ringgit bagi menghantar bekalan dadah tersebut bergantung kepada berat dan nilai semasa.
Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing ke atas suspek juga mendapati lelaki itu positif dadah jenis Ketamine di samping mendapati lelaki terlibat mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah dan ketum.
Katanya, lelaki berkenaan direman sehingga 16 Februari bagi membantu siasatan yang akan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 di mana sebuah motosikal jenama Yamaha Y15zr telah disita dianggarkan bernilai RM7,000,” katanya. – UTUSAN










