PORT DICKSON: Seorang lelaki warganegara Myanmar ditemukan mati dengan kesan 29 tikaman di bahagian leher dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Jalan Besar Bukit Pelandok di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.45 pagi sebelum sepasukan polis bergegas ke lokasi.
Menurutnya, mangsa berusia 26 tahun ditemukan dalam keadaan tertiarap, lengkap berpakaian dan terdapat kesan darah pada bahagian leher.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 8 Februari lalu ketika mangsa bersama seorang suspek sedang minum minuman keras di dalam sebuah bilik.
“Mangsa dan suspek merupakan kenalan di tempat kerja dan bekerja sebagai tukang panggang khinzir. Suspek dipercayai lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 21 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Maslan berkata, punca kejadian dipercayai berkait dengan pengaruh alkohol namun motif sebenar masih dalam siasatan.
“Proses bedah siasat yang dijalankan semalam mengesahkan punca kematian akibat luka tikaman berganda di leher. Hasil bedah siasatan juga mendapati terdapat sebanyak 29 tikaman pada leher mangsa,”katanya.
Beliau berkata, suspek telah ditahan pada pukul 10 pagi hari yang sama di kawasan Bukit Pelandok serta permohonan reman terhadapnya telah dibenarkan selama tujuh hari bermula semalam sehingga 16 Februari ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-UTUSAN











