Megat Shahriman sedia pulih imej FAM

Megat Shahriman sedia pulih imej FAM

Megat D Shahriman Zaharudin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yakin jaringan hubungan luas yang dimilikinya di dalam dan luar negara mampu menjadi pemangkin kepada usaha memulihkan imej Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Kesediaannya menawarkan diri untuk memegang jawatan dalam badan induk bola sepak negara itu didorong oleh rasa tanggungjawab terhadap masa depan sukan paling popular di Malaysia, bukan atas kepentingan peribadi.

“Saya mempunyai kenalan ramai di luar dan di dalam negara dan dengan menggunakan hubungan baik itu, saya percaya imej FAM boleh dipulihkan.

“Banyak perkara perlu dibuat dan diperbaiki jika saya diberikan tanggungjawab memegang jawatan dalam FAM kerana bola sepak negara memerlukan hala tuju yang lebih jelas dan berwibawa,” katanya.

Menurut Megat Shahriman, kekuatan hubungan antarabangsa merupakan antara elemen penting dalam membuka peluang kerjasama strategik, khususnya melibatkan aspek pembangunan, pendedahan serta pemindahan ilmu bagi melonjakkan mutu bola sepak tempatan.

“Saya bersedia bertanding, atas kapasiti tanggungjawab untuk memulihkan kembali imej bola sepak negara, bukan atas kepentingan peribadi.

“Ini soal amanah dan masa depan sukan paling popular di negara ini. Oleh itu, saya bersedia untuk bertanding jika dicalonkan kelak,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa isu ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan FAM perlu diberi perhatian serius bagi mengembalikan kepercayaan peminat serta pihak berkepentingan.

“Struktur pengurusan perlu diperbetulkan dan disusun semula supaya lebih telus, berakauntabiliti dan profesional.

“Kepercayaan rakyat hanya boleh dikembalikan jika tadbir urus dilaksanakan dengan betul,” katanya yang juga Ahli Lembaga Pengurus International Federation of Cerebral Palsy Football (IFCPF).

Megat Shahriman turut berpandangan rombakan menyeluruh perlu dilakukan jika FAM benar-benar mahu melihat perubahan ketara dalam landskap bola sepak negara.

“Kita kena ubah semua dan beri peluang kepada orang baharu untuk memimpin serta membawa idea segar.

“Daripada situ kita boleh melihat perubahan besar berlaku dalam bola sepak negara. Jangan ada lagi individu yang mempunyai kepentingan peribadi terus duduk di kerusi empuk FAM,” ujarnya.

Megat D Shahriman Zaharudin menyatakan minat untuk menerajui FAM susulan peletakan jawatan beramai-ramai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) badan induk itu, baru-baru ini.

Beliau menegaskan, kesediaan menawarkan diri bukan untuk mewakili mana-mana pihak tertentu, sebaliknya membawa suara awam serta penyokong bola sepak yang mahukan perubahan menyeluruh dalam pengurusan FAM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×