Indonesia sedia hantar 8,000 anggota pengaman ke Gaza

Indonesia sedia hantar 8,000 anggota pengaman ke Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Tentera Nasional Indonesia (TNI) sedang membuat persiapan awal bagi menghantar sehingga 8,000 anggota tentera ke Gaza sebagai pasukan pengaman antarabangsa.

Ia merupakan langkah yang mencerminkan komitmen Presiden, Prabowo Subianto untuk memperkukuh peranan Indonesia dalam keselamatan sejagat dan usaha pembinaan keamanan pasca konflik.

Ketua Staf Angkatan Darat, Jeneral Maruli Simanjuntak berkata, rancangan itu masih di tahap awal dan tertakluk kepada penyelarasan lanjut dalam rantaian perintah ketenteraan, termasuk dengan Markas Besar TNI serta penganjur rasmi misi pengaman antarabangsa.

“Penghantaran satu briged, kemungkinan sekitar 5,000 hingga 8,000 anggota. Namun, semuanya masih belum dimuktamadkan dan angka ini bersifat anggaran setakat ini,” kata Maruli kepada media selepas menghadiri mesyuarat kepimpinan TNI dan Polis Indonesia di Istana Presiden di Jakarta semalam.

Menurut beliau, Markas Besar TNI akan menerima maklumat rasmi mengenai keperluan sebenar anggota daripada penganjur misi, sebelum ia disalurkan kepada Angkatan Darat untuk persiapan lanjut.

“Tugas kami adalah menyediakan anggota. Proses persiapan sudah dimulakan, termasuk latihan awal, walaupun penugasan muktamad belum disahkan,” katanya.

Maruli menjelaskan latihan tersebut memberi tumpuan kepada pembentukan sahsiah anggota serta persiapan kesihatan, sejajar dengan keperluan misi pengaman yang lazimnya melibatkan interaksi dengan orang awam dan operasi di kawasan pasca konflik.

Persiapan pasukan pengaman itu selaras dengan pendekatan dasar luar Prabowo yang berhasrat meningkatkan peranan Indonesia sebagai penyumbang utama keamanan antarabangsa.

Sebelum ini, Prabowo secara terbuka menyatakan kesediaan Indonesia untuk menghantar sehingga 20,000 anggota bagi menyokong usaha keamanan di Gaza.

Dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-80 di New York pada September 2025, Prabowo menegaskan komitmen tersebut bukan sekadar retorik.

Beliau kemudian menyertai puluhan pemimpin dunia menghadiri sidang kemuncak mengenai masa depan Gaza di Mesir, dipengerusikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Mesir, Abdel-Fattah el-Sisi.

Indonesia dikenali sebagai antara negara penyumbang utama pasukan pengaman PBB, dengan pengalaman luas dalam misi melibatkan kejuruteraan, perubatan dan bantuan kemanusiaan.

Seorang pegawai Indonesia sebelum ini memaklumkan tumpuan utama sebarang penugasan ke Gaza adalah kepada unit kejuruteraan dan perubatan, selaras dengan keperluan pemulihan prasarana dan bantuan kemanusiaan.

Dalam perkembangan berkaitan, media Israel melaporkan persiapan sedang dijalankan bagi menerima ribuan anggota tentera Indonesia sebagai sebahagian daripada Pasukan Penstabilan Antarabangsa di Gaza, di bawah pelan pasca perang yang diterajui AS.

Menurut laporan The Times of Israel, satu lokasi di selatan Gaza antara Rafah dengan Khan Younis dikatakan sedang disediakan bagi menempatkan pasukan berkenaan, walaupun tiada tarikh rasmi ketibaan diumumkan.

Pihak berkuasa Indonesia bagaimanapun belum mengesahkan laporan tersebut secara rasmi.

Indonesia baru-baru ini turut menyertai Lembaga Keamanan yang dipengerusikan oleh Trump.

Sumber Indonesia turut memaklumkan Prabowo telah diundang menghadiri mesyuarat Lembaga Keamanan di Washington pada 19 Februari, namun kehadiran beliau masih belum diputuskan.

Prabowo juga sebelum ini berkata, Indonesia terbuka untuk menjalin hubungan dengan Israel jika rejim itu mengiktiraf penubuhan sebuah negara Palestin.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×