BANGKOK: Kebakaran besar berlaku di pasar hujung minggu Chatuchak di Bangkok lewat malam semalam, memusnahkan 48 unit kedai.
Kebakaran yang dilaporkan pada pukul 10.42 malam itu dikatakan bermula di sebuah kedai di Project 17 dalam pasar tersebut sebelum merebak dengan cepat ke kedai-kedai berdekatan.
Kedai yang terjejas termasuk kedai pakaian dan merupakan unit satu tingkat dengan bumbung logam yang dipercayai menyumbang kepada penyebaran api dengan cepat.
Pasukan bomba dan unit sokongan dikerahkan untuk memadam api serta mengelakkan kebakaran merebak ke kawasan lain.
Pemeriksaan awal selepas kebakaran mendapati api, yang berjaya dipadamkan pada pukul 11.15 malam itu menjejaskan kawasan seluas kira-kira 240 meter persegi, merosakkan 48 unit kedai.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana kejadian berlaku lewat malam selepas pasar ditutup.
Pegawai bomba dan penyelamat berkata, penemuan awal menunjukkan kebakaran dicetuskan oleh litar pintas elektrik.
Punca sebenar akan ditentukan selepas pemeriksaan terperinci oleh pegawai forensik, yang juga akan menilai jumlah kerugian keseluruhan.-AGENSI










