Trump ancam henti pembukaan jambatan Kanada-AS

Trump ancam henti pembukaan jambatan Kanada-AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk menghentikan pembukaan jambatan baharu yang menghubungkan Detroit dan Windsor, Ontario dalam serangan terbaharunya terhadap Kanada berkaitan isu perdagangan.

Trump turut mendakwa AS sepatutnya memiliki sekurang-kurangnya separuh daripada Gordie Howe International Bridge bernilai AS$4.7 bilion (RM18.45 bilion) itu.

Pembinaan jambatan yang dinamakan sempena legenda hoki ais NHL kelahiran Kanada, Gordie Howe, bermula pada 2018 dan dijadualkan dibuka akhir tahun ini.

“Saya tidak akan membenarkan jambatan ini dibuka sehingga AS dibayar sepenuhnya untuk segala yang telah kami berikan dan juga, yang penting, Kanada memperlakukan AS dengan keadilan dan rasa hormat yang sewajarnya.

“Kami akan memulakan rundingan, SEGERA. Dengan segala yang telah kami berikan kepada mereka, kami sepatutnya memiliki, mungkin sekurang-kurangnya separuh daripada aset ini,” tulis Trump di Truth Social.

Pemimpin Parti Republikan berusia 79 tahun itu mengadu Kanada memiliki kedua-dua sisi jambatan dan tidak menggunakan produk AS dalam pembinaannya.

Menurut helaian fakta daripada Windsor-Detroit Bridge Authority, jambatan tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Kanada dan akan dimiliki bersama oleh kerajaan Kanada dan negeri Michigan.

Jambatan itu dibiayai oleh Kanada kerana AS enggan menanggung kosnya dan dijadualkan untuk dibuka dalam beberapa bulan akan datang. Kos pembinaannya akan ditanggung melalui kutipan tol selama 30 tahun.-AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×