10 kluster baharu tibi direkodkan

10 kluster baharu penyakit tibi direkodkan

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 kluster baharu kes jangkitan tuberkulosis (tibi) direkodkan di negara ini sehingga 7 Februari lalu dengan kesemuanya masih berstatus aktif.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Selangor mencatatkan jumlah kluster tertinggi dengan melibatkan 10 kes.

“Johor pula merekodkan satu kluster (37 kes) diikuti Kedah, Kelantan dan Perlis masing-masing juga satu kluster dengan dua kes, Pahang satu kluster (empat kes) serta Sabah satu kluster (lima kes).

“Baru-baru ini di Johor, satu kes membabitkan seorang guru wanita berusia 72 tahun yang berakhir dengan 903 kontak rapat dikenal pasti,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berhubung status terkini kluster tibi mengikut negeri serta jumlah kes aktif yang masih dipantau.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, sebanyak 254 kes tibi dilaporkan di seluruh negara pada tahun lalu dengan melibatkan 88 kluster.

Katanya, 35 kluster daripada jumlah itu masih berstatus aktif dengan Selangor merekodkan bilangan tertinggi iaitu 13 kluster melibatkan 37 kes.

“Negeri lain yang turut mencatatkan kluster aktif ialah Kedah dengan enam kluster (13 kes), Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing lima kluster, Johor tiga kluster, Kelantan dua kluster dan Terengganu satu kluster,” katanya.

Dzulkefly berkata, langkah saringan dan kawalan khusus di institusi berisiko tinggi seperti sekolah berasrama, penjara dan asrama pekerja dilaksanakan berdasarkan Manual Tuberculosis Information System (TBIS 2018) dengan merangkumi pengenalpastian, penilaian dan pemeriksaan kontak.

“Saringan yang dijalankan merangkumi saringan simptom, pemeriksaan klinikal paru-paru, x-ray paru-paru serta pemeriksaan kahak iaitu sputum mikroskopi dan kultur.

“Langkah kawalan bagi mengekang penyebaran penyakit tibi ini adalah dengan memastikan mereka yang disahkan menghidap penyakit tibi diberikan rawatan awal anti-TB, manakala kontak rapat yang tidak dijangkiti akan disaring bagi mengesan jangkitan TB atau latent TB.

“Selain itu, pemantauan rawatan secara Directly Observed Therapy (DOT) dilaksanakan secara harian di fasiliti kesihatan terdekat,” katanya.

Tambah beliau, KKM sentiasa memantau situasi kluster penyakit tibi melalui pengesanan dan rawatan awal bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan berkualiti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×