Sudah masanya etnik Cina matang terima bahasa kebangsaan

Sudah masanya etnik Cina matang terima bahasa kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJIAN yang mendapati kira-kira 20 peratus responden berpendapat warganegara tidak perlu mengetahui bahasa Melayu sebagai bahasa negara amat mendukacitakan.

Ini kerana bahasa Melayu wajar dibanggakan oleh setiap warganegara Malaysia sebagai lambang identiti dan jati diri negara. Amat mendukacitakan apabila pandangan sedemikian masih wujud setelah hampir 70 tahun negara ini terbentuk.

Namun realitinya, masih wujud sebahagian rakyat tempatan dalam jumlah yang agak ketara berpegang pandangan sedemikian. Dalam hal ini, mereka percaya tidak wujud keperluan untuk bahasa Melayu difahami dengan baik, apatah lagi dikuasai pada tahap tinggi oleh warganegara.

Sewajarnya selepas sekian lama proses pembinaan negara khususnya dalam usaha menegakkan kedaulatan Malaysia serta pembentukan bangsa bagi antaranya melahirkan warganegara yang berkongsi aspirasi bersama, perkara negatif ini tidak lagi berlaku. Namun, hakikatnya masih berterusan, seolah-olah tidak berubah sejak sebelum negara tercinta ini dibentuk.

Sehubungan ini, tidak dapat disangkal lagi kita gagal dalam beberapa aspek kedua-dua proses ini. Bertambah sedih dan malang perkara sebegini tidak berlaku di negara lain, termasuklah yang baharu sahaja ditubuhkan.

Isu ini perlu ditangani segera. Hal ini demikian kerana perspektif dan cara pemikiran terhadap bahasa Melayu, walaupun sebagai bahasa terpenting di negara ini, telah terpesong jauh. Malah, persepsi yang salah ini semakin mengakar sehingga dibimbangi menjadi kekal dan sukar diperbetulkan.

Sebenarnya, perkara ini telah lama disedari, namun tidak diberi perhatian sewajarnya untuk ditangani. Hanya kini diusahakan oleh pemerintahan semasa.

Usaha tersebut dapat dilihat melalui peraturan terbaharu yang menetapkan semua institusi pendidikan swasta yang beroperasi di negara ini wajib mengajar dua mata pelajaran yang berkait rapat dengan proses pembinaan negara dan pembentukan bangsa.

Dengan adanya peraturan ini, semua warganegara Malaysia yang belajar di mana-mana institusi, diwajibkan mengambil dan lulus mata pelajaran bahasa Melayu dan Sejarah yang ditawarkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ini adalah langkah tepat walaupun terlewat. Dua mata pelajaran wajib lulus ini hendaklah diuruskan dalam bentuk sama, seperti mana di institusi pendidikan kerajaan.

Untuk ini, kedua-dua mata pelajaran ini hendaklah diajar dalam bentuk kurikulum. Ini bermakna ia hendaklah diajar dalam waktu persekolahan rasmi, seperti yang berlaku dengan semua mata pelajaran lain.

Natijahnya, dua mata pelajaran ini tidak boleh sama sekali diajar dan dipelajari ibarat melepas batuk di tangga, sebaliknya dilaksanakan ibarat menantang minyak penuh, yakni melakukan sesuatu dengan penuh kesempurnaan.

Seterusnya sebagai dua mata pelajaran hendaklah dikekalkan sifat SPM dengan sepenuhnya. Ini bermaksud ia diajar, dipelajari dan diduduki peperiksaannya dalam hanya dalam bahasa Melayu.

Sehubungan dengan sifat SPM itu sendiri, tidak wajar ada sebarang kompromi terhadap bahasa pengantarnya, khususnya bagi mata pelajaran Sejarah, walaupun kurikulum yang digunakan adalah kurikulum kebangsaan.

Pengajaran dan pembelajaran Sejarah dalam bahasa Melayu bukan sahaja wajar, malah mampu memperkukuh pendidikan bahasa Melayu itu sendiri.

Hal ini demikian kerana mata pelajaran yang sarat dengan kandungan bahasa ini merupakan wadah yang sangat berkesan untuk membantu penguasaan bahasa Melayu secara lebih mendalam dan bermakna.

Oleh itu, pendidikan Sejarah dalam bahasa Melayu bersifat serampang dua mata, iaitu untuk memenuhi peraturan mata pelajaran yang wajib lulus dan bagi mempertingkat penguasaan bahasa rasmi negara dalam mata pelajaran bahasa Melayu.

Dengan ini, apabila dua mata pelajaran nasionalistik ini dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Melayu selaku bahasa negara, juga mempunyai manfaat lain yang besar untuk warganegara Malaysia menguasai bahasa negara dengan baik.

Oleh itu, penggunaan bahasa Melayu untuk pendidikan dua mata pelajaran ini, hendaklah bukan sahaja diterima dengan hati terbuka tetapi penuh kesedaran nasional.

Peraturan wajib lulus dua mata pelajaran ini cara terbaik untuk memupuk rasa bangga, sayang dan setia kepada bahasa Melayu, di samping untuk mereka menghayati sejarah tanah air dengan baik.

Dalam hal ini, setelah sekian lama bermastautin di Malaysia, semua etnik, sepatutnya sudah lama menerima bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia.

Namun hakikatnya tidak begitu. Ini kerana boleh dilihat dengan jelas sekali pada perlakuan etnik Cina termasuk reaksi dalam media sosial. Tindak-tanduk itu menyebabkan keberadaan mereka di negara ini boleh dipertikaikan. Antaranya patriotisme.

 

KELULUSAN wajib mata pelajaran bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memperkukuh penguasaan bahasa serta kesedaran nasional. -JANAAN AI

BERUBAH

Sewajarnya, etnik Cina berubah sikap untuk menerima bahasa Melayu selaku bahasa negara pada dua peranannya itu. Sehubungan penerimaan ini, etnik Cina hendaklah mengiktiraf bukan sahaja kepentingan, juga kemuliaan bahasa Melayu dalam konteksnya sebagai bahasa negara.

Dengan ini, mereka perlu secara ikhlas meladeni bahasa Melayu sebagai sebahagian daripada bahasa mereka sebagaimana perhatian terhadap bahasa Inggeris, selain kuat menyokongnya.

Inilah cara bernegara yang wajar diamalkan, termasuk oleh etnik Cina, iaitu dengan memiliki dan mempamerkan sentimen positif terhadap negara ini. Antaranya ialah menyokong bahasa Melayu secara ikhlas sebagai bahasa kebangsaan.

Hakikatnya, menyokong bahasa dan dasar negara merupakan tanggungjawab setiap warganegara yang baik terhadap tanah airnya. Hal ini termasuk komitmen untuk bersama-sama menjayakan dasar awam yang telah digariskan, khususnya Dasar Bahasa Kebangsaan.

Untuk ini, semua etnik Cina di segenap pelosok tanah air, tanpa berkecuali seorang pun, perlu dipastikan menguasai bahasa Melayu yang bukan lagi hanya bahasa etnik Melayu sebaliknya bahasa negara. Ia wajar dikuasai pada tahap tinggi, bukan sekadar mengetahuinya dan secara pasif pula.

Lebih penting lagi dalam hal ini ialah etnik Cina hendaklah mempunyai kesedaran moral tentang perkara yang betul dan salah pada perlakuan dalam konteks kehidupan nasional di negara ini.-UTUSAN

Sepatutnya mereka sudah lama matang, yakni bertanggungjawab untuk tidak sesekali melakukan perkara yang tidak nasional.

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×