ISLAMABAD: Menteri Dalam Negeri Pakistan, Mohsin Naqvi, mengesahkan empat individu ditahan selepas disyaki membantu serangan bom bunuh diri yang mengorbankan lebih 30 nyawa pada Jumaat lalu.
Menurutnya, salah seorang daripada tahanan merupakan warga Afghanistan yang didakwa sebagai dalang utama di sebalik serangan tersebut.
Operasi serbuan bagi menahan suspek turut menyaksikan seorang pegawai unit pencegahan keganasan maut manakala tiga lagi cedera.
Kumpulan Daesh mengaku bertanggungjawab ke atas serangan bom yang menyasarkan jemaah ketika solat Jumaat di sebuah masjid Syiah di kawasan Tarlai.
Letupan tersebut turut mencederakan lebih 160 orang, menjadikannya serangan paling berdarah di ibu negara itu dalam tempoh lebih sedekad.
Majlis pengebumian mangsa dijalankan dalam suasana kawalan keselamatan yang ketat dengan kehadiran anggota tentera dan sekatan jalan raya oleh pihak polis di kawasan-kawasan utama.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, menyuarakan rasa duka yang mendalam sambil mengutuk keras serangan tersebut, manakala Presiden Asif Ali Zardari menyifatkan tindakan menyasarkan orang awam yang tidak bersalah sebagai satu jenayah terhadap kemanusiaan.
Mangsa yang terselamat menceritakan detik ngeri letupan itu kepada media, dengan ada yang menyifatkan keadaan sebagai amat tragis apabila melihat mayat bergelimpangan di merata tempat.
Dalam pada itu, Naqvi turut melemparkan tuduhan terhadap India dengan mendakwa negara jiran itu membiayai pihak di sebalik serangan dan menetapkan sasaran, namun Kementerian Luar India menolak sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.
Sementara itu, kerajaan Taliban di Afghanistan menyifatkan tuduhan penglibatan mereka oleh menteri pertahanan Pakistan sebagai amat mengecewakan kerana dibuat tanpa bukti yang sahih.
Susulan insiden ini, pihak berkuasa komited untuk memperketatkan keselamatan di Islamabad termasuk pengambilan ribuan anggota polis baharu dan penambahbaikan sistem keselamatan pintar di bandar raya tersebut. -AGENSI










