Serangan tentera AS di Pasifik bunuh dua suspek penyeludup dadah

Serangan tentera AS di Pasifik bunuh dua suspek penyeludup dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) membunuh dua individu yang disyaki pengedar dadah dalam satu serangan ke atas sebuah bot di timur Lautan Pasifik semalam.

Insiden terbaharu ini meningkatkan jumlah kematian kepada sekurang-kurangnya 128 orang susulan kempen ketenteraan Washington.

Markas Pemerintahan Selatan AS menerusi hantaran di platform X menyatakan risikan mengesahkan kapal tersebut sedang melintasi laluan pengedaran dadah yang dikenali di timur Pasifik dan terlibat dalam operasi penyeludupan, sambil menegaskan tiada anggota tentera AS yang tercedera dalam operasi berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pentadbiran Presiden, Donald Trump mula menyasarkan bot-bot yang disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan sejak awal September lalu, menegaskan mereka kini secara efektif sedang ‘berperang’ dengan kumpulan yang dilabel sebagai pengganas narkotik yang beroperasi dari Venezuela.

Bagaimanapun, pihak berkuasa AS setakat ini belum mengemukakan bukti kukuh yang menunjukkan kapal-kapal tersebut terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Situasi ini mencetuskan perdebatan hangat mengenai aspek undang-undang operasi tersebut yang kini telah berkembang luas dari kawasan Caribbean sehingga ke Lautan Pasifik.

Pada akhir bulan lalu, tentera AS turut melakukan satu lagi serangan di timur Pasifik yang mengorbankan dua lagi suspek pengedar dadah.

Perkembangan ini menyusul selepas waris kepada dua lelaki warga Trinidad yang terbunuh tahun lalu dalam serangan serupa memfailkan saman sivil terhadap kerajaan AS atas dakwaan kematian salah.

Kes berkenaan merupakan tindakan undang-undang pertama seumpamanya yang difailkan terhadap pentadbiran Trump berhubung siri serangan peluru berpandu di Caribbean dan timur Pasifik.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×