16 sektor industri catat peningkatan keyakinan pengguna - Ipsos Malaysia

16 sektor industri catat peningkatan keyakinan pengguna – Ipsos Malaysia

SYARFA Akhiar ketika membentangkan laporan Malaysia Trust Track 2025 di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 daripada 21 sektor industri mencatat peningkatan tahap kepercayaan pengguna pada 2025, selari dengan peningkatan sentimen optimisme rakyat terhadap hala tuju negara, menurut dapatan kajian Ipsos Trust Track 2025.

Pengarah Bersekutu, Hal Ehwal Awam Firma Penyelidikan Pasaran Ipsos Malaysia, Syarfa Akhiar berkata, antara sektor yang mencatat peningkatan ketara ialah media baharu, minyak dan gas serta beberapa sektor perkhidmatan utama lain.

“Dalam pada itu, hanya lima sektor merekodkan penurunan kecil sekitar dua hingga tiga mata peratusan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Secara keseluruhannya, tahap kenaikan itu sangat sihat dan menunjukkan pemulihan keyakinan pengguna yang menyeluruh,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas pembentangan laporan Malaysia Trust Track di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Syarfa berkata, tahap keyakinan rakyat terhadap Malaysia turut menunjukkan pemulihan ketara apabila tujuh daripada 10 rakyat Malaysia percaya negara berada di landasan yang betul.

Menurut beliau, berdasarkan Indeks Keyakinan Pengguna Global Ipsos, peratusan rakyat yang yakin Malaysia menuju ke arah yang betul meningkat daripada 66 peratus pada awal 2025 kepada 69 peratus pada November.

“Peningkatan tersebut didorong oleh tiga faktor utama iaitu ketahanan ekonomi negara, sokongan kerajaan yang bersasar serta peningkatan perbelanjaan pengguna.

“Dari sudut ketahanan ekonomi, Malaysia mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh, disokong pasaran buruh yang stabil serta penurunan kadar inflasi.

“Keadaan ini mewujudkan keyakinan terhadap kedudukan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, prospek peningkatan kepercayaan pada tahun ini masih bergantung kepada beberapa faktor luaran seperti perkembangan global dan prestasi ekonomi domestik.

“Adakah ekonomi kita akan terus kekal kukuh dan adakah pengguna akan terus berbelanja seperti tahun lalu, itu masih perlu dilihat,” katanya.

Mengulas trend jangka panjang, Syarfa berkata tahap kepercayaan pengguna tidak bersifat statik dan pernah mencatat kemerosotan ketara sebelum ini.

“Daripada 2023 hingga 2024, kita melihat wujudnya defisit kepercayaan apabila kadar kepercayaan jatuh tujuh mata peratusan, dipengaruhi oleh faktor global seperti konflik Gaza dan peningkatan aktivisme pengguna,” katanya.

Tambah beliau, pengukuhan nilai ringgit turut menyumbang kepada pemulihan sentimen tersebut.
“Kami percaya pengukuhan ringgit juga merupakan petunjuk bahawa ketahanan ekonomi negara semakin kukuh,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini