KUALA LUMPUR: Pendidikan kekal sebagai instrumen penyamarataan paling berkuasa dalam agenda pembangunan Malaysia, dengan lebih RM84 bilion diperuntukkan menerusi Belanjawan 2026 bagi memperkukuh reformasi pendidikan dan latihan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam Belanjawan 2026, kerajaan bukan sahaja menyalurkan sumber, tetapi juga iltizam untuk melaksanakan reformasi pendidikan dan latihan yang menggalakkan fleksibiliti, mobiliti, dan pembelajaran sepanjang hayat, sejajar dengan realiti bahawa bakat berkembang pada peringkat kehidupan yang berbeza.
Katanya, reformasi itu juga selaras dengan pasaran buruh yang sedang berubah, di mana kemahiran perlu diperbaharui, kerjaya berevolusi, dan pekerja memerlukan sokongan merentas fasa kehidupan.
“Pendidikan hari ini mesti melengkapkan rakyat Malaysia bukan sahaja dengan ilmu, tetapi dengan keupayaan menyesuaikan diri, daya tahan, dan keyakinan menghadapi perubahan.
“Teknologi menjadikan keperluan ini semakin mendesak. Kecerdasan Buatan (AI) sedang membentuk semula dunia pekerjaan dan industri. Persoalannya bukan sama ada perubahan akan berlaku, tetapi adakah kita bersedia, atau teknologi meluaskan peluang atau memperdalam ketidaksamaan bergantung kepada pilihan yang kita buat hari ini,” katanya berucap pada Forum Ekonomi Malaysia 2026 (FEM 2026) di sini, hari ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, pertumbuhan ekonomi juga mesti bersifat menyeluruh kerana penumpuan tidak memberi manfaat kepada sesiapa untuk jangka masa panjang.
Katanya, pembangunan wilayah memberi sokongan kepada pengusaha kecil dan sederhana serta perkhidmatan pelancongan bernilai tinggi adalah penting untuk membina ekonomi yang berdaya tahan dan memastikan kemajuan dikongsi secara lebih meluas.
“Pada masa yang sama, kemakmuran memerlukan jaminan terhadap keperluan asas kehidupan. Penjagaan kesihatan, perumahan, dan persediaan menghadapi masyarakat menua bukan isu sampingan.
“Ia menyentuh isu maruah dan kestabilan sosial. Sesebuah negara tidak boleh makmur jika rakyatnya hidup dalam ketakutan terhadap penyakit, ketidakselamatan atau pengabaian,” katanya.
Beliau berkata, disiplin dan pemikiran jangka panjang turut memandu pendekatan kerajaan terhadap dasar iklim dan perindustrian.
Katanya, peralihan tenaga bukan lagi pilihan, tetapi keperluan praktikal dalam menghadapi perubahan pasaran global dan peningkatan jangkaan.
“Untuk berjaya, pelabur memerlukan peraturan yang jelas, pengeksport perlu menyesuaikan diri, dan institusi mesti menyediakan kestabilan.
“Ketika Parlimen sedang bersedia meneliti Rang Undang-Undang Perubahan Iklim, kerajaan akan memastikan peralihan ini akan dilaksanakan secara teratur, berasaskan bukti, dan berpaksikan kepentingan nasional,” katanya. – UTUSAN










