Pelajar sering imamkan solat jemaah di masjid cemerlang STAM

Pelajar sering imamkan solat jemaah di masjid cemerlang STAM

PUTERA Haziq Akmal Mohd. Shahrul Akmal di samping ibunya, Noorain Hussain (kiri) dan kakaknya, Puteri Nurfarahin selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STAM 2025 di Maktab Mahmud, Alor Setar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang pelajar bukan sahaja cemerlang dalam keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang diumumkan hari ini, tetapi aktif dalam aktiviti masjid sehingga diberi kepercayaan mengimamkan solat di sebuah masjid di Anak Bukit, di sini. 

Pelajar Maktab Mahmud, Putera Haziq Akmal Mohd. Shahrul Akmal, 19, yang memperoleh keputusan Mumtaz Sofi (amat cemerlang) dalam peperiksaan itu juga bakal mengimamkan kariah masjid itu untuk solat tarawih sepanjang Ramadan tidak lama lagi. 

Ibunya, Noorain Hussain, 54, memberitahu, anaknya yang akan berangkat ke Mesir, Ogos depan sering menyertai aktiviti keagamaan dan kebajikan di masjid dan surau berdekatan rumah mereka ketika cuti sekolah. 

“Sejak bersekolah lagi dia selalu disuruh jawatankuasa masjid jadi imam waktu pulang hujung minggu kerana dia menginap di rumah sewa ketika hari persekolahan. 

“Selepas tamat STAM, dia lebih aktif dan selalu jadi imam di masjid itu. Sepanjang Ramadan, jadualnya penuh kerana diminta jadi imam solat tarawih,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STAM 2025 di Maktab Mahmud, di sini hari ini. 

Noorain berkata, kejayaan dicapai anaknya itu membanggakan keluarganya apabila memperoleh pencapaian Mumtaz dalam 10 mata pelajaran dalam peperiksaan itu. 

“Dia sahaja memilih aliran agama berbanding empat anak saya yang lain. Saya berbangga kerana dia pilih kerana minatnya sendiri,” katanya.

Sementara itu, Putera Haziq Akmal berkata, akan menyambung pengajian ke universiti di Mesir dalam jurusan Fiqah untuk melanjutkan cita-citanya bergelar guru agama atau ustaz. 

“Saya ingin jadi ustaz dan menyebarkan ilmu kepada umat Islam kerana itu adalah tuntutan agama,” katanya. 

Menyentuh tentang rahsia kejayaan, katanya belajar secara konsisten, mengulangkaji pelajaran selepas kelas dan menjaga hubungan dengan Allah dan manusia terutama keluarga antara jadi amalannya. 

Sementara itu, Pengetua Maktab Mahmud, Mohd. Shauki Mohd. Kasim, seramai dua pelajar memperoleh Mumtaz Sofi dengan memperoleh semua A dalam 10 mata pelajaran, sementara 20 lagi calon Mumtaz (cemerlang).

“Sebanyak 115 calon STAM tahun lepas dan sekolah ini mencatatkan gred purata sekolah (GPS) yang lebih baik dengan 2.35 berbanding 2.54, tahun sebelumnya,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×