SEMAKIN ramai lelaki muda hari ini berdepan kemerosotan keinginan seksual, satu keadaan yang dahulunya sering dikaitkan dengan usia lanjut.
Dalam lingkungan usia 25 hingga 40 tahun, tekanan hidup yang kian mencengkam seperti beban kerja, kos sara hidup hingga tuntutan gaya hidup moden kini memberi kesan langsung kepada keseimbangan fizikal dan mental, sekali gus menjejaskan libido.
Perubahan keinginan seksual sering berlaku secara perlahan dan tanpa disedari. Ia bermula dengan keletihan yang berpanjangan, emosi yang mudah terganggu serta minat seksual yang semakin merosot.
Namun, ramai lelaki muda menganggap keadaan ini sekadar kesan tekanan kerja atau gaya hidup yang terlalu sibuk.
Apabila perubahan tersebut berlarutan, ia bukan sahaja menjejaskan keinginan seksual, malah mula memberi kesan kepada keyakinan diri dan kualiti hidup secara keseluruhan.
Hakikatnya, keinginan seksual bukan sekadar berkait dengan hubungan intim, sebaliknya menjadi cerminan keseimbangan kesihatan fizikal, mental dan hormon.
Apabila ia mula terjejas pada usia yang lebih awal, tubuh sebenarnya menghantar isyarat keseimbangan tersebut sudah terganggu.
Pakar kesihatan lelaki, Dr. Ahmad Samhan Awang berkata, berdasarkan pemerhatian klinikal, lelaki dalam lingkungan usia muda kini berdepan tekanan hidup yang lebih tinggi berbanding generasi terdahulu.

“Beban kerja, kos sara hidup, tanggungjawab keluarga serta tuntutan gaya hidup menyebabkan keletihan berlaku lebih awal. Walaupun fizikal masih muda, tekanan mental dan corak hidup hari ini menjadikan kumpulan ini lebih mudah mengalami penurunan libido,” katanya.
Beliau yang juga Profesor Adjung di Innovative University College (IUC) berkata, libido yang sihat tidak seharusnya disalah tafsir sebagai keinginan seksual yang tinggi atau keperluan melakukan hubungan intim secara kerap. Sebaliknya, ia merujuk kepada keseimbangan keseluruhan tubuh dan minda.
“Lelaki yang sihat biasanya masih mempunyai minat seksual secara semula jadi, tenaga harian mencukupi, emosi stabil serta keyakinan diri yang baik. Ereksi pagi yang berlaku secara konsisten juga sering menjadi petunjuk hormon lelaki berada pada paras normal,” jelasnya.
Tekanan hidup, tuntutan kerja
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai lelaki muda berdepan keletihan melampau meskipun usia masih muda. Tekanan kerja yang tinggi, waktu kerja yang panjang serta keperluan menanggung lebih daripada satu pekerjaan menjadikan tubuh jarang berpeluang mendapatkan rehat yang mencukupi.
Ahmad Samhan berkata, apabila keletihan fizikal dan mental berlaku secara berterusan, tubuh akan mengutamakan fungsi asas untuk terus bertahan, sekali gus menyebabkan keinginan seksual menjadi antara aspek terawal yang terjejas.
“Tekanan kronik meningkatkan penghasilan hormon stres yang boleh menekan penghasilan testosteron walaupun pada usia muda. Kesannya bukan sahaja kepada libido, malah turut menjejaskan tenaga, emosi dan keupayaan fokus harian,” katanya.
Diet, tidur dan gaya hidup tidak seimbang
Diet moden turut dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada penurunan libido. Pengambilan makanan tinggi gula, lemak tidak sihat dan makanan proses secara kerap boleh meningkatkan lemak badan serta mengganggu kestabilan hormon.
Menurut Ahmad Samhan, nutrisi yang tidak seimbang dan kualiti tidur yang rendah akan mengganggu proses pemulihan tubuh serta kestabilan hormon lelaki.
“Tidur yang tidak mencukupi atau tidak berkualiti menjejaskan penghasilan hormon dan menyebabkan tubuh gagal pulih sepenuhnya,” katanya.
Gaya hidup kurang aktif pula memperlahankan aliran darah dan menurunkan tahap tenaga, sekali gus memberi kesan langsung kepada kesihatan seksual lelaki.
Libido terkesan
Ahmad Samhan berkata, keinginan seksual bermula dari otak. Tekanan mental, keletihan emosi serta pendedahan berlebihan kepada skrin menyebabkan otak sentiasa berada dalam keadaan penat.
“Penggunaan skrin berlebihan, khususnya pada waktu malam, bukan sahaja mengurangkan rangsangan semula jadi terhadap keinginan seksual, malah mengganggu tidur dan kestabilan emosi,” katanya.
Ujar beliau, penurunan libido tidak wajar dipandang ringan sekiranya ia berlarutan lebih tiga bulan dan disertai keletihan melampau, perubahan emosi, masalah ereksi atau kemerosotan keyakinan diri.
“Keadaan ini mungkin petanda awal masalah hormon, tekanan kronik atau isu kesihatan dalaman yang memerlukan perhatian perubatan,” katanya.
Sebagai langkah pencegahan, lelaki muda disarankan kembali kepada asas kesihatan iaitu tidur mencukupi, pemakanan seimbang, mengurangkan pengambilan gula dan makanan proses, kekal aktif serta mengurus tekanan dengan lebih baik.
“Kesihatan seksual yang baik biasanya hadir secara semula jadi apabila gaya hidup berada dalam keadaan seimbang,” katanya.










