PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki warga China seleplas membuat kekacauan serta mengacukan pisau ke arah pekerja di kedai serbaneka di Taman Ampang Hilir, Ampang dekat sini pada Ahad lalu.
Kejadian berlaku pada pukul 9 pagi ketika pekerja sedang menyusun barangan sebelum terdengar bunyi bising di kaunter bayaran.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, suspek kembali semula ke premis itu tidak lama kemudian dan bertindak agresif dengan menjatuhkan barangan di kaunter bayaran serta mengacukan sebilah pisau ke arah pekerja.
Menurutnya, polis dimaklumkan berhubung kejadian sebelum tiba di lokasi kejadian dan menahan suspek pada pukul 12.30 tengah hari pada hari yang sama.
“Perintah reman selama empat hari ke atas suspek dibenarkan bermula kelmarin hingga esok bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. – UTUSAN










