SISTEM pendidikan tinggi Malaysia kini berada di fasa transformasi strategik yang penuh harapan dengan pelancaran Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
Rancangan ini bukan sekadar dokumen dasar baharu tetapi manifestasi aspirasi negara untuk memperkukuh peranan pendidikan tinggi sebagai pemangkin kemajuan ekonomi, keterangkuman sosial dan kemampanan masa hadapan.
Dokumen ini dibina daripada pengalaman pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia ( PPPM) 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), yang berjaya memperluas akses kepada peluang pembelajaran tinggi, memperkukuh jaminan kualiti serta meningkatkan pengiktirafan global institusi kita.
PPPM 2015-2025 juga menekankan pelbagai anjakan strategik untuk melahirkan graduan holistik, meningkatkan kecemerlangan bakat dan memacu inovasi sebagai asas pembangunan pendidikan tinggi.
Dalam konteks cabaran global yang terus berubah menyebabkan pengalaman pelaksanaan pelan terdahulu memberi penekanan terhadap sistem pendidikan tinggi perlu resilien, adaptif dan responsif kepada keperluan abad ke-21, selaras matlamat negara untuk memacu Malaysia ke hadapan sebagai pusat kecemerlangan pendidikan dan penyelidikan.
RPTM 2026-2035 menandakan transformasi strategik dalam pendidikan tinggi Malaysia, daripada fokus semata-mata pada pengembangan kapasiti kepada penciptaan impak nyata bagi masyarakat dan negara.
Universiti kini bukan hanya pusat penghasilan graduan sebaliknya menjadi pemangkin inovasi, pembentuk bakat beretika dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan serta penyumbang utama kepada kemampanan nasional dan global.
Pendekatan ini meletakkan pelajar, masyarakat dan nilai kemampanan sebagai teras setiap inisiatif bagi memastikan pendidikan tinggi memberi kesan yang tahan lama, relevan dan transformatif.
PERUBAHAN GLOBAL
RPTM 2026-2035 dirangka bagi memastikan pendidikan tinggi kekal relevan dalam menghadapi perubahan pesat ekonomi, teknologi, sosial dan alam sekitar. Ia menekankan akses saksama kepada pendidikan berkualiti, laluan pembelajaran fleksibel, sepanjang hayat serta pembangunan kompetensi selaras ekonomi digital dan berasaskan pengetahuan.
Pelaksanaannya sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (Akta Pendidikan 1996) yang menekankan pembangunan holistik insan serta kerangka Malaysia Madani yang mempromosikan tadbir urus baik, kemampanan, inovasi, kepercayaan dan ihsan dalam pembangunan negara.
Dalam konteks ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memainkan peranan penting membekalkan bakat, memacu penyelidikan dan inovasi, memperkukuh pemindahan ilmu kepada masyarakat serta meningkatkan pengantarabangsaan pendidikan tinggi Malaysia.

MENANGANI CABARAN SISTEMIK
RPTM 2026-2035 memberi respons kepada cabaran lama dan baharu, termasuk kepimpinan beretika, daya saing global, kebolehpasaran graduan, kepelbagaian dan keterangkuman. Ia juga merangkumi kesihatan mental dan kesejahteraan, tadbir urus, akauntabiliti, kemampanan kewangan, kekangan infrastruktur serta keperluan memperkukuh penyelidikan, inovasi selain impak masyarakat.
Rancangan ini menyeru peralihan daripada sistem terpisah kepada ekosistem yang lebih harmoni juga kolaboratif, disokong oleh tadbir urus kukuh, model pembiayaan bertanggungjawab serta pendekatan bersepadu terhadap Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), penyelidikan dan inovasi.
Ciri utama RPTM 2026-2035 ialah penekanan terhadap pembelajaran sepanjang hayat dan merentas kehidupan. Laluan pendidikan formal yang linear digantikan dengan model fleksibel, modular selain berpaksikan pelajar, termasuk pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dan golongan kurang bernasib baik, sejajar Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 mengenai pendidikan berkualiti.
Rancangan ini juga menekankan peralihan daripada melahirkan pencari pekerjaan kepada pencari dan pencipta pekerjaan, dengan penekanan keusahawanan serta inovasi melalui penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan aktiviti ekonomi (SDG 8).
Kepimpinan institusi dijangka berkembang daripada pembuatan keputusan prosedural kepada kepimpinan intrapreneurial, autonomi dan pemikiran sistem yang responsif terhadap kerumitan serta ketidakpastian, sambil mengutamakan ekuiti, keterangkuman selain kesejahteraan pelajar, termasuk OKU.
Hasrat Malaysia menjadi hab pendidikan serantau diperkukuh dengan aspirasi global, berasaskan kualiti, kemampanan dan kepercayaan antarabangsa.
Universiti Sains Malaysia (USM) menunjukkan kekuatan dalam pendidikan berasaskan kemanusiaan dan kemampanan serta komitmen terhadap penyertaan komuniti.
RPTM 2026-2035 dibangunkan melalui proses konsultatif yang melibatkan lebih 8,000 pihak berkepentingan, termasuk ahli akademik, pentadbir universiti, wakil industri, penggubal dasar, pelajar, ibu bapa dan masyarakat.
Pelaksanaan rancangan ini akan dijalankan dalam tiga gelombang strategik iaitu 2026-2028 untuk membina asas, 2029-2031 untuk mempercepat pelaksanaan dan 2032-2035 untuk memantapkan serta menginstitusikan reformasi yang berjaya.
Dengan pelaksanaan berfasa yang terancang ini, terdapat peluang nyata untuk memastikan setiap reformasi diterjemahkan secara berkesan.
Komitmen berterusan daripada semua pihak akan menjadi faktor penentu kejayaan RPTM 2026-2035, membolehkan sistem pendidikan tinggi berkembang menjadi lebih responsif, inklusif dan berdaya saing di peringkat global.
USM menyokong sepenuhnya RPTM 2026-2035, selaras misi universiti sebagai institusi APEX dalam kemampanan, keterlibatan masyarakat dan pembangunan berpaksikan kemanusiaan.
Sebagai universiti yang bersedia menyumbang secara aktif, USM akan memainkan peranan melalui penyelidikan berimpak, model pendidikan inovatif serta perkongsian strategik dengan industri, komuniti dan kerajaan.
Kejayaan rancangan ini bergantung kepada tanggungjawab bersama dan pendekatan seluruh negara.
Transformasi ini menuntut komitmen teguh, kepercayaan dan kerjasama aktif daripada semua pihak berkepentingan.
Dilaksanakan dengan integriti dan kesungguhan, RPTM 2026-2035 akan memperkukuh sistem pendidikan tinggi Malaysia sebagai pemacu utama kemakmuran bersama, kemampanan jangka panjang dan berdaya saing global yang berkesan.-UTUSAN
PROFESOR Datuk Seri Abdul Rahman Mohamed ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM).










