TAMPIN: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun maut selepas tercampak ke dalam lubang pembetung dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal di Jalan Bunga Tanjung di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, kejadian kira-kira pukul 10.10 malam semalam itu melibatkan sebuah motosikal yang ditunggang seorang remaja lelaki berusia 17 tahun bersama adiknya yang merupakan pembonceng.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua mereka dalam perjalanan dari pekan Tampin menuju ke rumah seorang rakan mereka di Kuala Inas selepas selesai makan malam.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh sebelum melanggar pembetung air yang sedang dalam pembinaan di bahu kiri jalan.
“Akibat pelanggaran itu, pembonceng tercampak dan terjatuh ke dalam lubang pembetung sedalam kira-kira 10 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amiruddien berkata, mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin sebelum dikejarkan ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, katanya, pembonceng disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital pada kira-kira pukul 11.30 malam manakala penunggang motosikal hanya mengalami kecederaan ringan. – UTUSAN











