NEW YORK: Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran badan dunia itu berada di ambang keruntuhan kewangan dan berisiko kehabisan dana seawal Julai, sambil menggesa negara anggota melunaskan sumbangan masing-masing.
PBB berdepan masalah bajet berpanjangan apabila sebahagian negara anggota gagal membayar sumbangan mandatori sepenuhnya, manakala ada yang tidak membayar mengikut jadual, sekali gus memaksa pelaksanaan pembekuan pengambilan pekerja dan langkah penjimatan.
“Sama ada semua negara anggota menunaikan kewajipan mereka dengan membayar penuh dan tepat pada masanya atau mereka perlu merombak secara menyeluruh peraturan kewangan kami bagi mengelakkan keruntuhan kewangan yang hampir berlaku.
“Haluan semasa ini tidak mampan. Ia mendedahkan pertubuhan kepada risiko kewangan struktur,” tulis Guterres dalam sepucuk surat.
Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sejak beberapa bulan kebelakangan ini mengurangkan pembiayaan kepada beberapa agensi PBB serta menolak atau menangguhkan bayaran sumbangan mandatori.
Trump sebelum ini sering mempersoalkan peranan PBB dan mengkritik keutamaannya.
Majlis Keselamatan PBB (UNSC), badan pembuat keputusan tertinggi pertubuhan itu pula dilihat lumpuh akibat ketegangan antara AS, Russia dan China, ketiga-tiganya ahli tetap yang mempunyai kuasa veto.
Trump turut melancarkan inisiatif Lembaga Keamanan bulan ini, yang menurut pengkritik bertujuan menjadi pesaing kepada PBB.
Walaupun lebih 150 negara anggota sudah membayar sumbangan masing-masing, PBB menutup tahun 2025 dengan tunggakan sebanyak AS$1.6 bilion (RM6.3 bilion), lebih dua kali ganda berbanding 2024.
PBB juga berdepan masalah berkaitan apabila perlu memulangkan dana tidak digunakan kepada negara anggota, menurut jurucakap Guterres, Farhan Haq dalam satu sidang media.
Guterres turut menyentuh isu itu dalam suratnya dengan menyifatkan keadaan tersebut sebagai kitaran ‘Kafkaesque’, di mana PBB dijangka memulangkan wang yang sebenarnya tidak wujud.
“Realiti yang dihadapi amat jelas. Jika kutipan tidak meningkat secara drastik, kami tidak akan mampu melaksanakan sepenuhnya bajet program 2026 yang diluluskan pada Disember. Berdasarkan trend terdahulu, dana bajet tetap boleh habis menjelang Julai,” katanya.
Guterres, yang akan menamatkan tempohnya pada akhir 2026 menyampaikan ucapan tahunan terakhirnya mengenai keutamaan PBB, dengan menyatakan dunia kini berpecah-belah akibat isu geopolitik yang merugikan diri sendiri serta pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.
Beliau juga mengecam pemotongan besar-besaran terhadap bantuan pembangunan dan kemanusiaan, satu rujukan jelas kepada pengurangan ketara bajet agensi PBB oleh AS di bawah dasar ‘America First’ pentadbiran Trump.-AFP










