KUALA LUMPUR: Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad merupakan antara usaha berterusan kerajaan untuk memelihara warisan negara sambil memperkukuh kefahaman rakyat terhadap sejarah dan nilai pembinaan negara bangsa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif memelihara warisan perlu bergerak seiring dengan pembangunan moden supaya kemajuan negara tidak memutuskan hubungan dengan akar sejarahnya.
Katanya, bangunan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad bukan sekadar simbol fizikal masa lalu sebaliknya berperanan membentuk kesedaran dan jati diri masyarakat merentas generasi.
“Menyingkap acara bersejarah, wajar kita tekankan bahawa pemuliharaan bukan semata-mata usaha untuk mengulang nostalgia tetapi ikhtiar untuk memastikan sejarah negara Malaysia tercinta.
“Dari Perlis sampai ke Sabah, harus sentiasa berakar segar, dijadikan pedoman, agar generasi kini dan generasi penerus tidak akan gelojoh dan tersasar daripada cita-cita dan idealisme murni perjuangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad Fasa 1 hari ini.
Tambahnya, usaha itu merupakan pendekatan strategik menerusi inisiatif Warisan Kuala Lumpur bagi menghidupkan semula tapak-tapak warisan utama di ibu negara selari dengan persiapan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Warisan merupakan aset strategik yang mampu menjana kegiatan pelancongan, budaya seni, menggerakkan industri kreatif dan membuka peluang pekerjaan, serta mengukuhkan ekosistem perniagaan tempatan termasuk di kalangan peniaga kecil.
“Malaysia bukan sahaja dikenali kerana keindahan alam dan kepelbagaian serta kerencaman budaya, tetapi juga kerana kekuatan naratif sejarah dan peradaban.
“Lebih penting, ikhtiar ini mencerminkan hasrat bersama membina Kuala Lumpur yang moden, indah dan dinamik, namun berakar kepada sejarah dan nilai,” katanya. – UTUSAN











