ASEAN tidak iktiraf pilihan raya Myanmar

ASEAN tidak iktiraf pilihan raya Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CEBU: ASEAN sepakat tidak mengiktiraf pilihan raya di Myanmar yang pertama kali diadakan di negara itu sejak tentera merampas kuasa pada 2021.

Setiausaha Luar Filipina, Theresa Lazaro berkata, ASEAN juga tidak menyokong tiga fasa pilihan raya yang diadakan di Myanmar yang berakhir pada hujung minggu lalu.

Lazaro mengumumkan keputusan itu dalam sidang media selepas menjadi tuan rumah bagi mesyuarat menteri ASEAN pertama tahun ini di pusat bandar Cebu, dengan krisis Myanmar menjadi agenda utama.

Filipina memegang kerusi Pengerusi bergilir ASEAN tahun ini menggantikan giliran Myanmar yang digantung selepas rampasan kuasa tentera.

Keputusan tersebut sekali gus memberi tamparan hebat terhadap usaha kerajaan junta tentera Myanmar untuk mendapat pengiktirafan antarabangsa. 

Blok serantau dianggotai 11 negara termasuk Myanmar menolak untuk mengiktiraf kerajaan tentera sejak rampasan kuasa secara paksa daripada kerajaan demokratik, Aung San Suu Kyi pada 2021, yang mencetuskan perang saudara di negara itu.

Parti Solidariti dan Pembangunan Kesatuan (USDP) mengumumkan kemenangan dalam pilihan raya tersebut dengan menguasai hampir 90 peratus kerusi Dewan Rakyat selepas undian mengecualikan parti pembangkang utama dan mengekang sebarang bantahan. 

Junta tentera sebelum ini mengumumkan Parlimen akan bersidang pada bulan Mac dan kerajaan baharu akan mula menjalankan tugasnya pada bulan April. Satu perempat kerusi Parlimen secara automatik diperuntukkan untuk tentera, menjamin kawalan dan parti pilihan mereka.

Pengkritik berkata, pilihan raya itu tidak bebas atau adil, sebaliknya bertujuan untuk menghalalkan pemerintahan tentera selepas rampasan kuasa.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×