UNRWA laksana penjimatan drastik, pecat 600 kakitangan

UNRWA laksana penjimatan drastik, pecat 600 kakitangan

PENDUDUK Palestin melepasi khemah sementara yang didirikan oleh keluarga Palestin yang dipindahkan berhampiran ibu pejabat UNRWA di Gaza City.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Agensi PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) terpaksa melaksanakan langkah penjimatan drastik di Gaza berikutan sekatan akses bantuan kritikal oleh Israel.
Sebanyak 600 kakitangan dipecat, gaji kakitangan tempatan dipotong lebih 20 peratus dan waktu bekerja dikurangkan, ketika krisis kemanusiaan di wilayah itu semakin meruncing.

Menurut surat daripada Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini kepada staf terjejas, keputusan tersebut terpaksa dibuat susulan kekurangan dana serius sebanyak kira-kira 220 juta dolar (RM866.86 juta) dalam bajet 2026 badan tersebut.

Defisit itu menjejaskan keupayaan agensi berkenaan menunaikan tanggungjawab operasi teras, termasuk pembayaran gaji kakitangan dan kelangsungan program kemanusiaan penting.

Lazzarini menegaskan, Israel menggunakan bantuan kemanusiaan sebagai alat politik, malah menyifatkannya sebagai senjata untuk meningkatkan penderitaan orang awam.

Pengarah Rangkaian Pertubuhan Bukan Kerajaan Palestin di Gaza, Amjad Shawa berkata, UNRWA adalah tulang belakang kerja kemanusiaan di wilayah Palestin, malah turut memainkan peranan penting dalam kestabilan sosial pelarian serta petugasnya.

Beliau memberi amaran melemahkan UNRWA umpama membantu agenda Israel menghapuskan hak untuk pulang dan pemberian pampasan kepada rakyat Palestin, yang selama ini menjadi matlamat utama pentadbiran rejim itu.

“Terdapat perang terhadap kerja kemanusiaan, termasuk UNRWA dan kami pula terpaksa menanggung harga yang mahal kerana komitmen kami terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang enggan dipatuhi oleh penjajahan Israel,” tegasnya kepada Al Jazeera.

BANTUAN KEMANUSIAAN LUMPUH

Berita tersebut membuat ramai kakitangan UNRWA kecewa termasuk, Maryam Shaaban, 52, yang kini berpindah ke Mesir bersama suami yang cedera.

Maryam mula bekerja dengan badan tersebut pada 2007 sebagai guru di Jabalia, utara Gaza.

Seperti kebanyakan penduduk Gaza, Maryam menanggung kesan berat perang Israel, termasuk pemindahan keluarga dari Jabalia ke Nuseirat selepas serangan udara Israel pada Disember 2023 yang meragut 15 nyawa, termasuk anak dan ahli keluarganya.

Maryam berkata, pengusiran staf dan pemotongan gaji itu bagaikan hukuman tambahan kepada penderitaan yang sedang dilalui mereka.

“Tidak cukupkah kesakitan yang saya alami atas kecederaan anak-anak dan terpaksa berjauhan pula dengan mereka ketika menemani suami dalam rawatan?

“Kini mereka membuat luka kami bertambah parah dengan memecat kami dari pekerjaan yang menjadi sumber pendapatan utama kami,” katanya.

UNRWA menghadapi tekanan tambahan dari Israel, yang berulang kali menuduh agensi itu terlibat dengan kumpulan bersenjata Palestin tanpa bukti yang boleh disahkan.

Pada 2025, Knesset meluluskan undang-undang yang secara efektif melarang operasi UNRWA di kawasan yang dianggap sebagai kedaulatan Israel, termasuk Baitulmuqaddis Timur yang diduduki atas alasan keselamatan.

UNRWA menolak undang-undang itu sebagai tidak sah, yang menempatkannya dalam konfrontasi langsung dengan pihak berkuasa Israel.

Sejak Oktober 2023, lebih 380 kakitangan UNRWA di Gaza maut akibat serangan Israel.

Awal bulan ini, Israel menghantar jentolak bagi memusnahkan ibu pejabat UNRWA di Baitulmuqaddis Timur.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, memberi amaran kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, rejim itu boleh dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) jika tidak membatalkan undang-undang yang menyasarkan UNRWA dan memulangkan aset yang dirampas.

Ketua Kesatuan kakitangan UNRWA di Gaza, Dr, Mustafa Al-Ghoul mengkritik langkah pemotongan dan pemecatan yang dianggap memburukkan lagi kawasan paling teruk terjejas.

“Semua langkah ini bermula di Gaza, seolah-olah Gaza belum cukup dibebani dengan kematian, kehancuran dan kelaparan.

“Gaza memerlukan pasukan untuk menyembuhkan lukanya, bukan pemecatan dan pengurangan bantuan asas,” katanya.

Tindakan itu jelas memberi kesan langsung kepada pelarian Palestin, khususnya dalam pendidikan, kesihatan dan keselamatan makanan.

Ibu kepada tiga anak, Jihan al-Harazin, 28, yang berpindah di Gaza City berkata, UNRWA yang menjadi kekuatan utama kehidupan penduduk Gaza kini semakin nazak akibat sekatan Israel.

“Sebelum ini UNRWA menyediakan segalanya. Kini, sudah tiada apa-apa,” katanya merujuk kepada bantuan makanan yang lama terganggu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×